Laporan Harian Metro sebelum ini.
Laporan Harian Metro sebelum ini.
Ruwaida Md Zain


Kuala Langat: Polis membuka kertas siasatan terhadap kes kematian anggota wanita Angkatan Pertahanan Awam (APM) yang dikaitkan dengan perbuatan berlumba kereta hingga meragut nyawa mangsa semalam.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Azizan Tukiman yang dihubungi tadi berkata, pihaknya melakukan siasatan dengan menjurus kepada unsur individu berlumba yang meragut nyawa Nor Hezlina Nazrin, 19, di Kilometer 36 Jalan Klang-Banting - Port Dickson pada jam 12.30 tengah malam semalam.

"Polis akan merujuk kepada timbalan pendakwa raya untuk mencadangkan tuduhan di mahkamah mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan( APJ). Seksyen ini memperuntukkan hukuman penjara minimum dua tahun dan maksimum 10 tahun serta denda tidak kurang RM5,000 dan tidak lebih RM20,000.

"Suspek diberi jamin polis dan mereka sudah diambil keterangan semalam. Buat masa ini, polis keluarkan saman atas kesalahan-kesalahan yang ada seperti tiada lesen memandu, memandu secara berbahaya dan lain-lain," katanya.

Media kelmarin melaporkan Nor Hezlina yang menunggang motosikal arah Banting menghala ke Morib maut dipercayai dilanggar sebuah kereta Proton Wira.

Akibatnya motosikal mangsa termasuk ke laluan bertentangan.

Pada masa sama, sebuah lagi kereta Proton Wira yang dipandu seorang lelaki berumur 19 tahun itu turut mengheret mangsa sejauh lebih kurang 50 meter.

Akibatnya mangsa mengalami kecederaan parah di kepala dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Difahamkan mangsa adalah petugas barisan hadapan yang berkhidmat di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) di Serdang, Selangor sejak Februari lalu.

Berita berkaitan:

  • Anggota wanita APM maut dalam nahas lima kenderaan
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Mac 2021 @ 8:29 PM