GAMBAR hiasan.
GAMBAR hiasan.
Muhammad Zulsyamini Sufian Suri

Kuala Kangsar: Seorang remaja maut manakala seorang lagi parah selepas motosikal ditunggang mereka dirempuh sebuah kereta yang memotong secara cuai di Kilometer 73, Jalan Ipoh-Gerik dekat Sauk di sini, malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira 11.40 malam itu, Muhammad Nashrullah Azhary, 15, yang menunggang motosikal Yamaha Lagenda maut di tempat kejadian manakala seorang lagi remaja berusia 16 tahun yang menunggang motosikal Modenas Kriss patah pergelangan tangan kanan.

Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Asisten Komisioner Omar Bakhtiar Yaacob, berkata siasatan awal mendapati nahas berpunca daripada sebuah kereta Perodua Axia dipandu seorang pelajar universiti awam berusia 22 tahun yang memotong dalam keadaan cuai.

Katanya, sewaktu di tempat kejadian kereta dipandu lelaki itu dari arah Gerik menuju Kuala Kangsar dipercayai cuba memotong kenderaan lain dengan masuk ke laluan bertentangan.

Menurutnya, penunggang motosikal Modenas Kriss berjaya mengelak kereta berkenaan yang masuk ke laluannya, namun motosikalnya bergesel dengan kereta berkenaan sebelum hilang kawalan dan terbabas di bahu kiri jalan.

"Manakala Muhammad Nashrullah yang menunggang di belakang motosikal Modenas Kriss tidak sempat mengelak lalu bertembung Perodua Axia berkenaan," katanya dihubungi hari ini.

Katanya, Muhammad Nashrullah meninggal dunia di tempat kejadian dan mayat dihantar ke Unit Forensik Hospital Kuala Kangsar untuk bedah siasat manakala penunggang motosikal yang parah dihantar ke hospital sama untuk rawatan lanjut.

Beliau berkata, kejadian turut menyebabkan pemandu Perodua Axia itu, selain seorang lagi penumpang cedera ringan di jari telunjuk kanan dan luka bahagian dahi.

Katanya pemandu Perodua Axia ditahan polis bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 Mei 2022 @ 1:12 PM