PREMIS kilang ternakan ayam daging di Kampung Sungai Jang,Kerling yang menjadi punca serangan lalat kepada penduduk kampung.FOTO Md Fuzi Abd Lateh
PREMIS kilang ternakan ayam daging di Kampung Sungai Jang,Kerling yang menjadi punca serangan lalat kepada penduduk kampung.FOTO Md Fuzi Abd Lateh
Md Fuzi Abd Lateh

MAJLIS Daerah Hulu Selangor (MDHS) mengeluarkan notis kacau ganggu selama seminggu kepada kilang ternakan ayam daging di Kampung Sungai Jang, Kerling yang menjadi punca serangan lalat kepada penduduk kampung itu.

Yang Dipertua MDHS, Shukri Mohamad Hamin berkata, notis itu dikeluarkan penguat kuasa mereka bermula 9 Mei lalu yang perlu dipatuhi pemilik kilang itu dengan segera.

Beliau berkata, siasatan dijalankan MDHS dengan kerjasama Pejabat Daerah dan Tanah Hulu Selangor (PDTHS) ke atas premis berkenaan setelah menerima aduan penduduk sekitar khususnya Perkampungan Orang Asli Sungai Jang mengenai gangguan lalat yang banyak di situ.

"Siasatan mendapati, premis berkenaan itu menjalankan aktiviti ternakan 140,000 ekor ayam daging dengan keluasan kawasan kira-kira setengah hektar dan mendapat kelulusan Kebenaran Merancang (KM) daripada MDHS untuk bangunan sedia ada di tapak, tetapi tiada pindaan pelan lulus bagi tambahan reban.

"Semakan mendapati pemilik premis ini ada membuat permohonan pindaan KM pada akhir 2019. Namun, pemilik diminta untuk mendapatkan ulasan Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) terlebih dahulu bagi reka bentuk kolam tadahan mereka," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, premis itu tidak mempunyai lesen perniagaan sah dan tidak mempunyai pelan bangunan lengkap.

Menurutnya, kawasan pelupusan sisa dan kolam rawatan air didapati tidak mengikut garis panduan ditetapkan.

"Amaran tegas diberikan pengusaha premis itu dalam tempoh seminggu agar segera mematuhi peraturan ditetapkan MDHS demi kesejahteraan penduduk sekitar daripada serangan lalat yang banyak.

"Kami mengeluarkan notis kacau ganggu dan kompaun berkaitan gangguan lalat, beroperasi tanpa lesen dan tidak ada kebenaran membina bangunan daripada MDHS terlebih dahulu," katanya.

Shukri berkata, mereka akan sentiasa memantau perkembangan premis itu dari semasa ke semasa bagi memastikan mereka mengambil tindakan sewajarnya dengan segera.

Katanya, sekiranya pengusaha masih ingkar dalam tempoh masa 14 hari, tindakan undang-undang termasuk dibawa ke mahkamah atas kesalahan kacau ganggu dan pencemaran alam sekitar akan diambil.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 Mei 2020 @ 4:32 PM