Keadaan parit yang kehitaman dipercayai berpunca daripada sisa najis lembu diusahakan warga asing di sebuah ladang ternakan berhampiran Jalan Pak Itam, Batu 19, Jeram. FOTO AMIRUL AIMAN HAMSUDDIN
Keadaan parit yang kehitaman dipercayai berpunca daripada sisa najis lembu diusahakan warga asing di sebuah ladang ternakan berhampiran Jalan Pak Itam, Batu 19, Jeram. FOTO AMIRUL AIMAN HAMSUDDIN
Amirul Aiman Hamsuddin


Kuala Selangor: Pemilik sebuah ladang ternakan yang menyebabkan lebih 200 penduduk di Jalan Pak Itam, Batu 19, Jeram, di sini, resah dan tidak selesa dengan bau najis pada Jumaat lalu, diarah menghentikan aktiviti selama 14 hari.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS), Mohamad Hanafe Basri berkata, walaupun penternakan dijalankan di tanah persendirian, namun ia tetap menyebabkan bau busuk kepada penduduk sekitar.

"Hasil pemantauan di ladang berhadapan Klinik Kesihatan Jeram itu mendapati ada bau kurang menyenangkan yang menyebabkan kacau ganggu daripada aktiviti penternakan kambing dan lembu.

"Sehubungan itu, Jabatan Kesihatan dan Persekitaran memberikan Notis Menghendaki Kacau Ganggu Bau Dihapuskan, manakala Jabatan Penguatkuasaan juga memberikan Notis Menghentikan Aktiviti Penternakan dalam tempoh 14 hari," katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Media sebelum ini melaporkan keadaan dialami penduduk kawasan itu dikatakan berlaku berpunca bau najis dari ladang ternakan.

Ia dipercayai diusahakan warga asing yang sebelum ini hanya menanam pelbagai sayuran tetapi kini dikatakan menternak lembu, kambing dan rusa.

Tinjauan di lokasi mendapati, jarak rumah penduduk dengan ladang yang dibina tahun lalu itu hanya bersebelahan, iaitu kira-kira 50 meter.

Bukan itu sahaja, air dalam parit berhampiran kelihatan tidak dapat mengalir dipercayai tersumbat dan berwarna hitam menandakan ia dipenuhi sisa daripada premis terbabit.

Dalam perkembangan sama, Mohamad Hanafe berkata, hasil pemantauan MPKS pada 30 November lalu mendapati terdapat 30 haiwan ternakan termasuk kambing di dalam kandang di kawasan tanah persendirian terbabit.

"Pada masa sama, pemilik tanah turut melakukan aktiviti penternakan ikan membabitkan dua kolam," katanya.

Susulan itu, tindakan pihak berkuasa tempatan (PBT), pemilik tanah akan memindahkan operasi penternakan dalam masa terdekat.

"Pemantauan berterusan dijalankan bersama bersama Jabatan Perkhidmatan Veterinar Kuala Selangor, semalam," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 Disember 2023 @ 7:59 AM