FOTO Hiasan
FOTO Hiasan
Oleh Zatul Iffah Zolkiply


MAHKAMAH Majistret Marang hari ini menjatuhkan hukuman denda RM1,000 atau penjara satu bulan terhadap seorang lelaki kerana melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Lelaki berkenaan ditahan bersama seorang remaja berusia 18 tahun ketika berkumpul untuk menguji kelajuan motosikal di kawasan lapang di Kampung Cangkul Pak Abbas, Marang, 3 Mei lalu.

Keputusan itu dibuat Majistret Engku Nurul Ain Engku Muda selepas tertuduh Shahrul Fadli Ramli, 20, mengaku salah terhadap pertuduhan mengikut Peraturan 3(1) Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah di dalam kawasan tempatan jangkitan) 2020.

Mengikut pertuduhan yang dibacakan secara berasingan, Shahrul Fadli dan remaja lelaki berusia 18 tahun didakwa bergerak dari kediaman masing-masing iaitu di Kampung Gondang, Bukit Payong dan Kampung Bukit Parit, Marang ke suatu kawasan tempatan jangkitan yang lain iaitu di Jalan Kampung Cangkul Pak Abbas, pada 6.30 petang, 3 Mei lalu.

Bagaimanapun, Engku Nurul Ain menetapkan 7 Julai depan sebagai tarikh keputusan bagi menunggu laporan akhlak remaja terbabit daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Mahkamah membenarkan remaja lelaki terbabit diikat jamin RM1,000 dengan seorang penjamin.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, M Lishantini manakala dua tertuduh tidak diwakili peguam.

Portal NSTP sebelum ini melaporkan sekumpulan lelaki menjadikan sebuah kawasan lapang di Kampung Cangkul Pak Abbas, Marang sebagai port menguji kelajuan motosikal masing-masing dipercayai sebagai persediaan untuk merempit.

Bagaimanapun, tindakan kumpulan itu terbongkar apabila port berkenaan diserbu polis selepas menerima aduan awam yang tidak selesa dengan kehadiran kumpulan berkenaan.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 Mei 2020 @ 2:52 PM