LOKASI di Kampung Cangkul Pak Abbas, Marang yang dijadikan port menguji kelajuan motosikal masing-masing dipercayai sebagai persediaan untuk merempit. FOTO Ihsan PDRM
LOKASI di Kampung Cangkul Pak Abbas, Marang yang dijadikan port menguji kelajuan motosikal masing-masing dipercayai sebagai persediaan untuk merempit. FOTO Ihsan PDRM
Zatul Iffah Zolkiply

SEKUMPULAN lelaki menjadikan sebuah kawasan lapang di Kampung Cangkul Pak Abbas, Marang, sebagai port menguji kelajuan motosikal masing-masing dipercayai sebagai persediaan untuk merempit.

Bagaimanapun, tindakan kumpulan itu terbongkar apabila port berkenaan diserbu polis pada 5 petang kelmarin.

Ketua Polis Daerah Marang, Deputi Superintendan Mohd Zain Mat Dris berkata, serbuan dilakukan susulan aduan awam mengenai kehadiran dianggarkan antara 20 hingga 30 individu dipercayai berkumpul menjalankan aktiviti tidak sihat di situ.

Beliau berkata, sebaik menyedari kehadiran anggota, mereka yang ketika itu asyik mencuba 'power' motosikal melarikan diri sehingga ada yang nekad meredah laluan ladang kelapa sawit dipenuhi semak samun.

"Ada juga yang sanggup meninggalkan motosikal masing-masing untuk bersembunyi di dalam semak berhampiran.

"Kita berjaya menahan dua daripadanya yang berusia 18 dan 20 tahun selain merampas empat motosikal sebelum kesemuanya dibawa ke ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) untuk tindakan lanjut.

"Difahamkan, lokasi berkenaan menjadi pilihan geng motosikal dalam kalangan penduduk setempat untuk menguji kelajuan sekali gus menimbulkan ketidakselesaan penduduk berhampiran.

"Mereka ditahan untuk siasatan lanjut kerana melanggar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan berkumpul di kawasan berkenaan," katanya ketika dihubungi hari ini.

Dalam pada itu, Mohd Zain berkata, pihaknya membuat penstrukturan semula sekatan jalan raya (SJR) dengan sekatan hanya dilakukan di lokasi tertentu.

Katanya, tumpuan kini diberikan kepada pematuhan terhadap prosedur operasi standard (SOP) serta operasi pencegahan jenayah dan kawalan sempadan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang berkuat kuasa semalam.

Katanya, SJR juga dikurangkan apabila hanya dua sahaja sekatan dilakukan berbanding tujuh sebelum ini.

"Jadi lebihan anggota yang sebelum ini terbabit dalam SJR akan dikerahkan melakukan rondaan serta pemantauan terutama di lokasi tumpuan kerana individu yang ingkar terhadap peraturan sepanjang tempoh PKPB masih boleh dikenakan tindakan undang-undang seperti PKP sebelum ini," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Mei 2020 @ 5:47 PM