FOTO Hiasan
FOTO Hiasan
BERNAMA

AKIBAT berkumpul dengan alasan ingin berbuka puasa di sebuah bilik hotel, enam rakan termasuk tiga wanita masing-masing didenda RM1,000 atau penjara empat minggu oleh Mahkamah Majistret Kuala Lumpur hari ini kerana mengingkari Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Majistret Nurfarahain Roslan menjatuhkan hukuman itu selepas semua tertuduh yang berusia lingkungan 30 hingga 36 tahun mengaku bersalah atas perbuatan itu.

Mereka didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah hotel di Dang Wangi pada 9.45 malam, 29 April lalu.

Bagi perbuatan itu mereka didakwa mengikut Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Pengisytiharaan Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020.

Timbalan Pendakwa Raya Nurilya Ellyna Nor Azmal, memohon hukuman setimpal berbentuk pengajaran supaya kesemua tertuduh tidak mengulangi kesalahan sama manakala peguam Tan Kim Kiek dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan merayu hukuman ringan berbentuk denda atas alasan mereka menyesal dan insaf.

Sementara itu, 39 individu termasuk seorang wanita didenda antara RM400 dan RM1,000 oleh dua Mahkamah Majistret di sini selepas mengaku berhimpun dan bergerak dari satu tempat ke tempat lain atas pelbagai alasan termasuk ingin membeli makanan, keluar untuk berbuka puasa serta membaiki motosikal.

Mahkamah memerintahkan kesemua tertuduh, termasuk 27 warga Indonesia, Bangladesh, Nepal dan Somalia, dipenjara antara tiga minggu hingga sebulan jika gagal membayar denda itu.

Kesemua tertuduh yang berusia lingkungan 20 hingga 52 tahun didakwa melakukan perbuatan itu di sekitar Kuala Lumpur antara 13 April dan 2 Mei lalu.

Sementara itu di Mahkamah Majistret Petaling Jaya, tiga lelaki warga Indonesia dan seorang lelaki warga Myanmar dipenjara tiga bulan manakala 12 lagi, termasuk tiga wanita, didenda RM1,000 atau penjara tiga bulan selepas mengaku bergerak dari satu tempat ke tempat lain melebihi jarak 10 kilometer dari tempat tinggal masing-masing.

Majistret Nor Ariffin Hisham memerintahkan kesemua tertuduh warga asing itu, yang turut mengaku tinggal lebih masa di Malaysia, menjalani hukuman penjara mulai tarikh mereka ditangkap iaitu antara 29 Mac dan 20 April lalu.

Antara alasan yang diberikan tertuduh adalah ingin membeli rokok pada 4.30 pagi, menggunting rambut dan berjumpa teman lelaki.

Kesemua tertuduh yang berusia lingkungan 19 hingga 55 tahun didakwa melakukan perbuatan itu di sekitar kawasan Kampung Sungai Kayu Ara, Lebuhraya Persekutuan dan Bandar Utama di sini antara 29 Mac hingga 20 April lalu.

Timbalan Pendakwa Raya Mohammad Fakhrurrazi Ahmad Salim memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal dengan mengambil kira kepentingan awam dan usaha kerajaan memutuskan rantaian wabak Covid-19.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Mei 2020 @ 5:33 PM