SEKITAR PKP di kawasan perumahan Taman Sri Murni dan Pasar Borong Selangor yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) akibat virus Covid 19. FOTO EIZAIRI SHAMSUDIN
SEKITAR PKP di kawasan perumahan Taman Sri Murni dan Pasar Borong Selangor yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) akibat virus Covid 19. FOTO EIZAIRI SHAMSUDIN
BERNAMA

AKIBAT menaiki kereta beramai-ramai untuk membeli barang di sebuah pasar raya, sepasang suami isteri dan jiran mereka, masing-masing didenda RM1,000 atau penjara sebulan oleh Mahkamah Majistret Kuala Lumpur di sini, hari ini kerana mengingkari Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Muhammad Hanafi Abdullah, 27, bersama isterinya, Syrifah Saadiah Syd Taha, 26, dan jiran mereka, Salmah Khalid, 45, mengaku bersalah terhadap pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret M. Saravanan.

Mereka didakwa bersama-sama telah gagal mematuhi arahan dikeluarkan Ketua Pengarah Kesihatan, bagi mencegah dan mengawal apa-apa penyakit, dengan menaiki sebuah kereta secara beramai-ramai seperti yang diperuntukkan di bawah Peraturan 10 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah di dalam kawasan tempatan jangkitan) 2020, di sekatan jalan raya, Batu 5, Lebuh raya Besraya, di sini, pada 10.10 pagi, 16 April lalu.

Mereka didakwa mengikut Peraturan 11(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah di dalam kawasan tempatan jangkitan) 2020, yang membawa hukuman denda sehingga RM1,000 atau penjara sehingga enam bulan atau kedua-duanya sekali.

Terdahulu, Saravanan menasihati mereka supaya mematuhi arahan kerajaan bagi mengekang Covid-19.

"Lebih baik buat senarai barang dan wakilkan seorang sahaja yang pergi beli barang," katanya.

Ketiga-tiga tertuduh yang tidak diwakili peguam, merayu hukuman denda minimum dan menyesal atas perbuatan mereka, manakala Timbalan Pendakwa Raya Nur Fatin Mohamad Farid memohon hukuman setimpal, supaya memberi pengajaran kepada tertuduh dan orang awam.

Sementara itu, di mahkamah sama dan dua Mahkamah Majistret berasingan 50 lagi individu termasuk lapan wanita dipenjara antara tujuh dan 14 hari atau denda antara RM700 dan RM1,000, selepas mereka mengaku bersalah, berhimpun dan bergerak dari satu tempat ke tempat lain termasuk membeli tisu, mahu beri makanan kepada adik angkat dan membayar hutang.

Mahkamah turut memerintahkan kesemua tertuduh termasuk 14 warga Indonesia, Bangladesh dan Myanmar dipenjara bermula dari tarikh tangkap antara 15 dan 23 April dan dipenjara sebulan, jika gagal membayar denda itu.

Kesemua mereka yang berusia antara 20 hingga 43 tahun didakwa melakukan perbuatan itu di sekitar Kuala Lumpur antara 15 hingga 23 April.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 April 2020 @ 5:57 PM