FOTO hiasan
FOTO hiasan
Zatul Iffah Zolkiply

DUA lelaki masing-masing yang memberi alasan mahu membeli burger untuk isteri yang mengidam dan mencari ketenangan selepas bergaduh dengan isteri didenda RM1,000 setiap seorang di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu hari ini.

Mereka antara 10 tertuduh berusia antara 20 hingga 61 tahun yang dijatuhi hukuman denda oleh Majistret Noor Mazrinie Mahmood kerana melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Semua tertuduh turut berdepan hukuman penjara satu bulan sekiranya mereka gagal menjelaskan denda berkenaan.

Mahkamah menjatuhkan hukuman itu terhadap Ahmad Firdaus Khamis, 23, yang memberi alasan untuk mengambil burger di rumah bapa saudaranya kerana isterinya mengidam.

Turut sama dijatuhkan hukuman denda itu adalah rakannya, Muhammad Syuaib Awang Ngah, 20, yang mengikutnya untuk mengambil burger itu.

Mahkamah yang sama juga menjatuhkan hukuman itu terhadap Wardi Zaini, 36, yang memberi alasan keluar pada waktu malam untuk menenangkan fikiran selepas bergaduh dengan isterinya.

Mengikut pertuduhan, semua tertuduh didakwa bergerak dari satu tempat ke tempat yang lain di sekitar daerah Kuala Terengganu dan Kuala Nerus antara 10 malam hingga 12.15 tengah malam antara 16 April hingga semalam.

Mereka yang didakwa mengikut Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah di dalam kawasan tempatan jangkitan) 2020 berdepan hukuman denda sehingga RM1,000 atau penjara sehingga enam bulan atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Wan Amira Ruzaini Wan Abdul Razak manakala kesemua tertuduh diwakili peguam daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) Mazlan Md Zein.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 April 2020 @ 6:27 PM