Foto hiasan.
Foto hiasan.
BERNAMA

SERAMAI 29 individu termasuk tiga wanita didenda RM1,000 setiap seorang oleh Mahkamah Majistret Ipoh, hari ini kerana melanggar Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dengan berhimpun di sebuah pusat hiburan, Selasa lalu.

Kesemua tertuduh yang berusia 19 hingga 37 tahun mengaku bersalah selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan serentak di hadapan Majistret Umzarul An Nur Umar.

Mereka didakwa terbabit dalam perhimpunan bagi maksud bersosial di dalam sebuah pusat hiburan di Ipoh, kira-kira 9.30 malam, 26 Mei lalu.

Mereka didakwa melanggar Peraturan 7(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020 yang jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM1,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya sekali.

Turut didenda jumlah yang sama ialah pemilik pusat hiburan terbabit kerana menganjurkan aktiviti terlarang.

Pemilik premis berusia 35 tahun itu didakwa menganjurkan aktiviti terlarang iaitu aktiviti perniagaan restoran di dalam pub berkenaan di lokasi dan masa yang sama.

Dia didakwa melanggar Peraturan 3 peraturan sama yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman sama.

Mahkamah turut menetapkan hukuman penjara tiga bulan sekiranya kesemua tertuduh gagal membayar denda.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya K Darinee, manakala 29 tertuduh diwakili peguam daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) G Harbhajan Singh dan seorang lagi tertuduh diwakili peguam Lau Chee Foon.

Terdahulu, Darinee memohon agar tertuduh dikenakan hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada mereka dan orang ramai supaya tidak mengulangi kesalahan sama yang mempersiakan segala usaha keras membendung wabak Covid-19.

Bagaimanapun, Lau memohon mahkamah mengenakan hukuman rendah terhadap anak guamnya atas alasan wanita berusia 29 tahun itu hanya menghantar barangan kecantikan yang dijualnya di premis hiburan itu.

Harbhajan pula memohon mahkamah mengenakan hukuman yang rendah terhadap 29 tertuduh diwakilinya atas alasan mereka menjimatkan masa mahkamah dengan mengaku bersalah dan tidak membabitkan sebarang keganasan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 Mei 2020 @ 8:03 PM