ANGGOTA PPDA mengangkat mayat lelaki berusia 55 tahun yang terjun dari jambatan Sultan Yahya Petra petang semalam sebaik ditemui pada jam 1.22 petang tadi. FOTO Siti Rohana Idris
ANGGOTA PPDA mengangkat mayat lelaki berusia 55 tahun yang terjun dari jambatan Sultan Yahya Petra petang semalam sebaik ditemui pada jam 1.22 petang tadi. FOTO Siti Rohana Idris
Siti Rohana Idris


OPERASI mencari dan menyelamat mangsa lemas di Jambatan Sultan Yahya Petra, Kota Bharu, hari ini agak mencabar buat 10 anggota Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA), dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Bharu dan Pengkalan Kubor.

Ini kerana tugasan pada bulan Ramadan memerlukan stamina lebih tinggi dan tenaga mencukupi.

Bagi Azizan Yunus, 34, tugas menyelam di bulan puasa agak menguji ketahanan fizikal kerana lazimnya tempoh maksimum selaman dibuat antara 20 hingga 35 minit.

"Lebih lama menyelam, tekak akan menjadi kering kerana kami menyedut udara menerusi tabung udara termampat.

"Kalau operasi menyelam dilakukan pada waktu pagi tiada masalah sangat kerana badan masih segar dan bertenaga," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, hari ini.

Azizan yang sudah 10 tahun berkhidmat dalam unit itu, berkata pemakanan dan stamina yang diamalkan masing-masing mempengaruhi ketahanan diri sekali gus melancarkan tugasan selaman dilakukan walaupun sedang berpuasa.

Katanya, operasi mencari dan menyelamat bermula petang semalam di permukaan sungai, bagaimanapun, hari ini operasi diteruskan dengan selaman sehingga 8.6 meter ke dasar sungai.

Katanya, radius pencarian sekitar 100 meter dari lokasi mangsa dilaporkan jatuh.

Seorang lagi anggota, Adnan Mohamed, 48, berkata, dia melakukan dua kali selaman dengan tempoh antara 20 hingga 25 minit.

"Tugasan menyelam di bulan puasa bagi kami bukan masalah besar kerana ada prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

"Kalau nak kira penat, memang agak memenatkan lebih-lebih lagi kalau cuaca panas," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 Mei 2020 @ 7:21 PM