GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


RAKYAT Malaysia meninggal dunia selepas menyelam di perairan Loh Dasami Pulau Rinca Selatan, Kawasan Taman Nasional Komodo (TNK) di Labuan Bajo, Indonesia, semalam.

Mangsa, Zaid Azuan Abdul Rahman, 49, disahkan meninggal dunia di Rumah Sakit Siloam.

Difahamkan, mangsa bersama sembilan lagi rakannya tiba di pulau berkenaan pada 30 November sebelum melakukan aktiviti menyelam di perairan berkenaan.

Wisma Putra ketika dihubungi kini sedang menunggu laporan rasmi Kedutaan Malaysia di Indonesia.

Sementara itu, media tempatan, Labuan Bajo News melaporkan mangsa bersama sembilan lagi rakannya menginap dalam kapal di Perairan Labuan Bajo.

Mereka diiringi tenaga pengajar atau ‘Dive Master’, Condo Subagio sebelum melakukan aktiviti menyelam di kawasan berkenaan.

Condo dilapor berkata, dia bergerak ke lokasi menyelam pada 9 pagi semalam dan melakukan aktiviti selaman.

“Sebelum menyelam dia (Zaid) dalam keadaan baik, kami hanya menyelam sekejap sahaja iaitu sekitar 10 minit.

“Dia naik ke permukaan lebih awal sebelum saya melihat dia seolah-olah kekurangan oksigen,” katanya seperti dilaporkan Labuan Bajo News.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 Disember 2019 @ 4:53 PM