TIMBALAN Penguasa Bomba Hasbullah Mohd Isa memberi taklimat kepada anggotanya sebelum memulakan latihan.
TIMBALAN Penguasa Bomba Hasbullah Mohd Isa memberi taklimat kepada anggotanya sebelum memulakan latihan.

Penyelaras latihan Mohamad Yunus Abu berkata, latihan itu disertai 50 anggota termasuk pegawai daripada unit PPDA bomba dan pemandu bot dari balai terpilih di Kedah dan Perlis.

Beliau berkata, antara kemahiran yang perlu dipelajari lebih mendalam ialah cara menyelamatkan mangsa di permukaan air menggunakan kaedah bersesuaian selain menyelamatkan mangsa lemas di dasar air sama ada di tasik, sungai, tali air dan laut.

“Kami menjalankan latihan ini supaya nampak seperti situasi sebenar kejadian, malah setiap yang berlaku akan dilaporkan kepada Pusat Gerakan Operasi (PGO) menggunakan walkie talkie.

“Dalam latihan ini, anggota kami turut melakukan latihan pencarian surfing surface (permukaan air) dan menyelam ke dasar tasik.

“Mayat mangsa lemas biasanya akan timbul dalam tempoh 24 jam dari dia dilaporkan terjatuh dan jika gagal ditemui, anggota PPDA bomba yang terdiri daripada penyelam akan turun mencari mangsa sehingga ditemui walaupun mengambil masa beberapa hari,” katanya ketika ditemui, baru-baru ini.

Mohamad Yunus berkata, mayat yang gagal ditemui biasanya tersangkut pada ranting, akar pokok atau sampah-sarap dan menyukarkan untuk mencari dengan segera.

Berikutan itu, katanya, pemandu bot akan melakukan kocakan air dengan membuat pusingan beberapa kali dengan bot bagi membolehkan haiwan berbisa seperti ular beredar dari situ sebelum anggota PPDA turun ke kawasan itu.

“Langkah itu bertujuan membolehkan mayat mangsa yang tersangkut pada ranting kayu atau timbunan sampah timbul di permukaan air.

“Biasanya teknik ini akan dilakukan jika mangsa lemas tidak ditemui dalam tempoh 24 atau 48 jam selepas dilaporkan terjatuh di kawasan yang dikenal pasti,” katanya.

Mohamad Yunus berkata, pasukan PPDA akan menggunakan bot di sekitar kawasan pencarian tetapi hanya dua penyelam akan turun untuk mencari mangsa menggunakan peralatan lengkap skuba kerana mereka hanya bergantung pada 30 hingga 45 minit menggunakan tabung udara termampat.

Beliau berkata, selepas tempoh itu, mereka akan naik semula ke bot dan akan diganti dengan dua anggota penyelam untuk melakukan pencarian dalam tempoh sama sehingga mangsa ditemui.

“Kita ada dua pasukan PPDA iaitu di Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Petani dan Langkawi yang seramai 24 anggota.

“Gabungan latihan dua negeri ini untuk memantapkan kemahiran membantu mangsa banjir dan lemas dalam persediaan menghadapi La Nina iaitu hujan berterusan yang boleh menyebabkan banjir,” katanya.

Turut menyertai latihan itu ialah pegawai daripada JBPM Perlis Hasbullah Mohd Isa. -Zuliaty Zulkiffli

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 Julai 2016 @ 5:03 AM