SADDAM al-Kilany bersama pembantunya ketika mencipta rekod dunia. FOTO FB
SADDAM al-Kilany bersama pembantunya ketika mencipta rekod dunia. FOTO FB
Agensi

Kaherah: Penyelam Mesir bakal menempa nama sebagai individu menyelam paling lama di dasar laut selepas melakukannya lebih 145 jam atau hampir enam hari di Laut Merah dekat perairan Dahab.

Difahamkan rekod dicatat Saddam al-Kilany, 29, dalam pengesahan Guinness World Records (GWR).

UPI melaporkan pemuda itu berada di dasar laut selama 145 jam dan 30 minit melepasi rekod terbaik pernah dia catatkan pada 2017 iaitu 121 jam, selain rekod dunia - 142 jam, 47 minit.

Rekod dunia dipegang warga Turki, Cem Karabay di Cyprus yang dicatat pada 2016.

Al-Kilany memulakan misinya pada 5 November lalu, pada mulanya merancang membuat selaman selama 150 jam, namun cubaan itu tidak berjaya berikutan kebimbangan terhadap kesihatannya.

Dia ditemani pembantu dan dipantau pasukan perubatan di bawah Pengarah Pusat Perubatan Hyperbaric di selatan Sinai, Adel Taher ketika melakukan selaman itu.

Video misi Al-Kilany dan dokumentasi mengenainya sudah diserahkan kepada GWR untuk pengesahan rekod baharu.

Pemuda itu yang melakukan latihan bertahun untuk rekod berkenaan dilapor turut mengadakan majlis pertunangan di dasar laut dengan pasangan, Pia Legora pada September lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 November 2020 @ 6:30 AM