LOKASI kejadian. FOTO Ihsan PDRM
LOKASI kejadian. FOTO Ihsan PDRM
Hazsyah Abdul Rahman


BERPURA-PURA mengalami masalah kerosakan motosikal di tepi jalan sebelum menyamun seorang penghantar makanan yang cuba membantu, itu taktik yang digunakan oleh dua penjenayah dalam kejadian di Bulatan Segama, Lahad Datu, semalam.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Nasri Mansor berkata, sebelum kejadian mangsa lelaki, 20, hendak ke Kampung Tabanak dari rumahnya di Kampung Cocos, untuk menghantar air tebu kepada pelanggan.

Menurutnya, ketika masih berada di kawasan kampung, mangsa melihat dua lelaki di tepi jalan raya dan terdapat sebuah motosikal.

"Mangsa berhenti dan bertanya apakah yang berlaku dan kedua-dua lelaki berkenaan memaklumkan motosikal mereka rosak dan memberitahu hendak ke Batu 3, Lahad Datu.

"Kemudian mangsa membantu menolak motosikal dengan kakinya dan sebaik tiba di bulatan Jalan Segama, penunggang motosikal kemudian berhenti di tepi jalan dan meminjam telefon milik mangsa bagi menghubungi seseorang.

"Namun, dalam kejadian 1.30 tengah hari itu, secara tiba-tiba salah seorang penjenayah menarik beg sandang yang dipakai mangsa dan naik motorsikal lalu memecut," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Nasri berkata, dalam keadaan kelam-kabut penghantar makanan itu cuba menahan motosikal suspek namun kedua-dua suspek terus melarikan diri.

"Ketika kejadian tarik menarik beg, mangsa jatuh di jalan raya yang menyebabkannya mengalami kecederaan bengkak kaki kiri.

"Kemudian, mangsa dibantu oleh orang awam ke Sekatan Jalan Raya (SJR) Jalan Assam untuk buat makluman awal dan seterusnya datang ke balai polis buat laporan untuk siasatan lanjut," katanya.

Menurutnya, pihak polis sedang giat memburu suspek dan kes disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan kerana menyamun.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 Mei 2020 @ 1:05 PM