POLIS memeriksa lokasi mangsa ditemui. FOTO Ainul Durmahyanty Durming
POLIS memeriksa lokasi mangsa ditemui. FOTO Ainul Durmahyanty Durming
Junaidi Ladjana dan Ainul Durmahyanty Durming

LELAKI maut disyaki dipukul selepas dituduh mencuri ayam peliharaan di Kampung Batu 1, Jalan Segama, Lahad Datu, 12.30 tengah malam tadi.

Mangsa Jamaluddin Mudeng, 37, yang ditemui terbaring dan masih hidup kemudian dibawa ke rumah di kampung berkenaan sebelum dihantar ke Hospital Lahad Datu untuk rawatan lanjut.

Bagaimanapun doktor mengesahkan mangsa sudah meninggal dunia dan pada masa yang sama, seorang penduduk kampung menghubungi polis.

Sumber berkata, sebelum kejadian, suspek dipercayai berang selepas ayam peliharaannya dicuri dari reban, dua hari lalu dan mengesyaki mangsa mencurinya.

"Suspek dikenali sebagai Domba, 37, kemudian menemui mangsa yang juga rakan sekampungnya di kawasan kampung berkenaan dan dipercayai berlaku pergaduhan.

"Selepas itu, mangsa ditemui terbaring oleh penduduk kampung lalu membawanya ke rumah Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) sebelum dibawa ke Hospital Lahad Datu," katanya, hari ini.

Menurutnya, penduduk kampung kemudian menghubungi polis manakala suspek dipercayai melarikan diri dari lokasi kejadian.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Lahad Datu Asisten Komisioner Hamzah Ahamd ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 Ogos 2017 @ 7:38 PM