Raja Noraina Raja Rahim

YANG di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan menyertai Program Limpahan Lampu Biru di Istana Negara, malam tadi.

Baginda berdua turut bersama keluarga menyertai program anjuran Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) itu.

Keindahan limpahan lampu biru di seluruh bangunan Istana Negara dikongsikan menerusi hantaran foto di Instagram rasmi Istana Negara.

Program berkenaan sebagai sokongan dan penghargaan kepada petugas barisan hadapan yang berjuang mengekang wabak Covid-19.

Seri Paduka Baginda menyanjung tinggi pengorbanan semua petugas barisan hadapan yang menjalankan tugas tanpa mengira masa dan penat lelah.

Selain itu, beberapa lokasi dan bangunan ikonik di Kuala Lumpur dinyalakan dengan lampu berwarna biru tertera ucapan penghargaan sebagai tanda sokongan kepada petugas barisan hadapan yang bertungkus lumus memerangi Covid-19.

Perlaksanaan program 'Light It Blue' itu mencetuskan panorama menarik ibu negara walaupun kawasan itu kini sepi tanpa orang ramai.

ISTANA Negara turut sama menyertai kempen ‘Light It Blue’ yang melibatkan beberapa bangunan ikonik di seluruh Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan bermula malam 30 April hingga 3 Mei bagi menghargai jasa petugas barisan hadapan melawan wabak pandemik Covid-19. FOTO Bernama

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 Mei 2020 @ 1:13 PM