MD Sarif menyauk ikan dalam kolam konkrit di Kampung Ramuan Cina Kecil, Masjid Tanah. FOTO Hassan Omar
MD Sarif menyauk ikan dalam kolam konkrit di Kampung Ramuan Cina Kecil, Masjid Tanah. FOTO Hassan Omar
Hassan Omar


PENJUALAN ikan keli dalam kolam konkrit diusahakan pesara tentera meningkat sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan berikutan orang ramai yang 'terperap' di kediaman masing-masing memilih untuk mendapatkan ikan berkenaan.

Hanya menerusi panggilan telefon, Md Sarif Haron, 73, mampu tersenyum menjual 20 kilogram (kg) ikan keli dalam sehari berbanding antara lima hingga tujuh kg sehari sebelum PKP.

Bekas Pegawai Waran II, Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) itu berkata, sejak PKP dilaksanakan pada 18 Mac lalu, semakin ramai pelanggan menghubunginya untuk mendapatkan ikan keli kerana mereka tidak dapat bergerak ke pasar awam berbanding sebelum itu.

"Saya tidak pandai menggunakan komputer, apatah lagi Internet untuk menjual ikan dalam talian dan sekadar bergantung kepada telefon, tetapi ia sudah cukup untuk menjual ikan berkenaan.

"Ikan keli tidak disiang berharga RM7.50 sekilogram manakala RM8.50 bagi siap disiang, tetapi saya tidak membuat penghantaran, sebaliknya pelanggan datang ke kolam selepas sejam membuat panggilan untuk mengambil ikan," katanya ketika ditemui di kediamannya di Kampung Ramuan Cina Kecil, Masjid Tanah, Alor Gajah, hari ini.

Md Sarif membina 16 kolam konkrit dengan setiap satu berukuran 2.4 x 3.6 meter dan kemampuan memuatkan 2,000 benih ikan keli.

Sebanyak 15 kolam itu berisi ikan keli manakala satu lagi dimuatkan dengan ikan patin yang dijual pada harga RM12 sekilogram dengan atau tanpa disiang.

"Ikan keli memerlukan tempoh pemeliharaan antara 2.5 hingga tiga bulan sebelum boleh dipasarkan manakala ikan patin selama tujuh bulan dan kedua-dua jenis ikan itu harus segera dipasarkan selepas tempoh berkenaan bagi mengelakkan kerugian daripada aspek kos bahan makanan.

"Saya hanya memelihara ikan keli dalam satu kolam konkrit pada 2009 untuk dijadikan hidangan anak cucu yang pulang dari perantauan, tetapi apabila semakin ramai penduduk kampung membelinya, saya menambah 15 kolam lagi," katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 April 2020 @ 4:26 PM