KOLAM ternakan diusahakan Mazli.
KOLAM ternakan diusahakan Mazli.
Nurul Husna Mahmud


PENTERNAK ikan perlu kreatif menambah pendapatan menerusi perniagaan ternakan ikan air tawar dalam memberi pulangan menguntungkan.

Hasil ternakan ikan air tawar seperti keli memiliki potensi besar kerana mudah terjual untuk individu perseorangan atau penjual makanan.

Menurut usahawan dan penternak ikan keli, Mazli Mashudi, beliau mengusahakan ikan air tawar untuk memenuhi pelbagai jenis pasaran termasuklah pasaran ikan matang.

"Penternakan ikan air tawar diusahakan saya ketika ini adalah ikan keli kerana mempunyai permintaan tinggi terutama dalam kalangan orang kita.

"Berbanding ikan air tawar yang lain, keli senang diternak dan mudah dipasarkan. Pulangan modal dan keuntungan juga lebih mudah diperoleh atas faktor permintaan tinggi.

"Bukan hanya menjual keli matang, saya juga mengusahakan jualan ternakan anak benih ikan keli untuk pengusaha lain," katanya.

Beliau memulakan ternakan ikan keli sejak 2016 dengan modal sebanyak RM50,000 dan menyifatkan ternakan keli menjana pulangan keuntungan yang pantas.

"Jumlah itu menyamai anggaran 3000 kilogram (kg) keli dewasa selain menghasilkan kira-kira 80,000 ekor keli bersaiz lima inci sebulan.

IKAN keli dicuci bersih boleh mencapai RM10 sekilogram.
IKAN keli dicuci bersih boleh mencapai RM10 sekilogram.

"Dengan jualan ketika ini harga keli matang sekilo sekitar RM9.00 dan keli saiz lima inci (12.7 sentimeter) 50 sen seekor, menjana purata pendapatan kasar sehingga RM65,000," katanya.

Tambah Mazli, meskipun pernah berkhidmat dalam dunia perbankan, dia mengakui penternakan ikan keli lebih memberi kepuasan.

"Ketika ini saya ibaratnya menyambung perusahaan penternakan diusahakan orang tua, Fauziah Jaafar, 66, dan arwah bapa Mashudi Wahid.

"Saya tidak memfokuskan aktiviti ternakan ikan air tawar untuk jualan semata-mata kerana dalam masa yang sama turut menjalankan kursus ternakan keli.

"Malah saya juga menjual peralatan penternakan bagi mengukuhkan pendapatan," katanya.

TURUT menjual anak benih keli kepada pengusaha dan penternak.
TURUT menjual anak benih keli kepada pengusaha dan penternak.

Pada masa sama, beliau juga membangunkan empat lagi kolam baru dan melakukan pengubahsuaian kolam yang dapat meningkatkan penghasilan ikan dan benih ikan sehingga 35 peratus.

"Setiap penternak ada formula tersendiri bagi menjana keuntungan. Dalam penternakan keli selain kualiti air makanan aspek terpenting.

"Saya tidak hanya memberi palet, sebaliknya cuba kaedah makanan campuran menerusi pemberian kepala bilis, azolla, ketum ayam dan roti.

"Makanan tambahan itu hanya diberikan kepada keli lebih daripada saiz 12.7 sentimeter," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 Oktober 2023 @ 7:01 AM