IKAN keli Afrika segar turut dijual.
IKAN keli Afrika segar turut dijual.
PEKERJA Amirul memproses ikan keli sebelum dijual kepada pelanggan.
PEKERJA Amirul memproses ikan keli sebelum dijual kepada pelanggan.
Hafiz Ithnin


"APABILA berada dalam dunia usahawan penternakan ini, raya tidak raya, sebagai majikan tiada istilah cuti. Perkara ini kerana kita perlu memastikan ternakan ikan dalam kolam diberi makanan," kata usahawan ternakan ikan keli Afrika ini kepada penulis.

Lelaki berusia 32 tahun itu sebenarnya adalah generasi ketiga dalam keluarga yang mengambil alih perniagaan ternakan ikan keli Afrika itu di Sungai Petani, Kedah.

Sejak berusia 18 tahun, Muhamad Amirul Masiri sudah mengambil alih perusahaan itu daripada bapanya yang sebelum itu mewarisi daripada datuknya.

Jelasnya, meskipun ia adalah perniagaan keluarga, tetapi tiada istilah cepat untuk berjaya kerana sebagai usahawan ternakan dia perlu memahami mengenai ternakan supaya legasi perniagaan yang diwariskan tidak menemui noktah.

Katanya, ketika dia mengambil alih perniagaan itu daripada bapanya, hanya ada dua kolam dan kini dia menambah dua kolam baharu menjadikan empat semuanya.

"Saya boleh katakan jumlah ternakan ikan keli Afrika milik saya kira-kira 100,000 ekor. Ada antaranya saya jadikan sebagai pembaka dan untuk dijual di pasaran.

"Ikan keli Afrika ini mempunyai tempoh matang untuk sedia dijual pada usianya tiga bulan dan ia mempunyai saiz yang agak besar. Jadi, tempoh pembesarannya untuk matang agak cepat," katanya.

Selain menjual ikan keli yang diternak, Muhamad Amirul juga menjadi pengusaha jual beli pelbagai ikan air tawar untuk pasaran tempatan.

IKAN keli Aftika mengambil masa tiga bulan untuk matang.
IKAN keli Aftika mengambil masa tiga bulan untuk matang.

Ia bagi menjadikan kepelbagaian ikan yang dijual dan tempoh menunggu ikan keli miliknya matang untuk dijual.

Katanya, bersandarkan pengalamannya, ikan keli Afrika sudah memadai diberikan makanan sisa ayam dan dedak dengan kekerapan sehari sekali sahaja kerana ada juga pengusaha yang memberikan makanan dua kali sehari.

"Apabila kita berikan makanan sekali sehari, tetapi perlu dalam kadar yang cukup iaitu tidak terlalu banyak sehingga membazir dan tidak terlalu sedikit kerana ia boleh membantutkan pembesaran ikan itu sendiri.

"Perkara paling penting ialah jangan menjadikan makanan itu sisa kotoran dalam kolam kerana ia boleh menyebabkan air dalam kolam tercemar dan sudah pasti memberi kesan buruk kepada kesihatan ikan," katanya.

AMIRUL bersama ikan keli Afrika yang diternaknya.
AMIRUL bersama ikan keli Afrika yang diternaknya.

Jelasnya, kolam yang dimilikinya juga mempunyai sistem pengaliran daripada air sawah berdekatan bagi memastikan kualiti air dalam keadaan baik dan tidak menjadi 'air termenung.'

"Kitaran air ini penting supaya air dalam keadaan bersih dan ikan juga mampu membiak dalam keadaan baik walaupun ikan keli Afrika ini dikenali sebagai ikan air tawar yang lasak, tetapi kita ingin pastikan kualiti dagingnya bersih.

"Selain itu, ikan keli juga sebenarnya memerlukan pengaliran air yang baik supaya isinya tidak berbau untuk dijadikan masakan kelak," katanya.

Bercerita mengenai permintaan katanya, ikan keli mempunyai permintaan yang tinggi dan harga jualan juga agak memuaskan kerana ketika ini untuk harga pasaran borong dijualnya pada RM6.50 sekilogram dan di pasar malam RM10 sekilogram.

AIR kolam perlu dalam keadaan baik supaya tidak menjejaskan kesihatan ikan.
AIR kolam perlu dalam keadaan baik supaya tidak menjejaskan kesihatan ikan.

"Ikan keli ini antara ikan air tawar yang mendapat permintaan tinggi di pasaran. Jadi, sebagai usahawan kita perlu memastikan ikan yang ingin dipasarkan memenuhi permintaan.

"Selain itu, sebagai pengusaha kita juga perlu bijak menguruskan operasi perniagaan dan ternakan supaya tidak terganggu memandangkan kedua-duanya adalah perkara yang penting," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 31 Mac 2024 @ 6:20 AM