GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Mohd Amin Jalil


SINDIKET penipuan 'Macau Scam' di Negeri Sembilan merekodkan peningkatan sebanyak 17 kes atau 33 peratus bagi tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan, Superintendan Aibee Abd Ghani berkata, sebanyak 51 kes penipuan itu direkodkan sejak PKP dikuatkuasakan bermula 18 Mac hingga 23 April lalu.

Menurutnya, nilai kerugian membabitkan sejumlah RM1.5 juta.

"Keadaan ini berbeza berbanding bagi tempoh yang sama tahun lalu, yang hanya merekodkan sebanyak 34 kes dengan nilai kerugian sebanyak RM502,000.

"Jelas berlaku peningkatan kes 'Macau Scam' kebelakangan ini terutama ketika tempoh PKP dilaksanakan. Ini menunjukkan sindiket ini semakin aktif dan bijak mengambil peluang ketika mangsa pula yang ada di rumah serta mempunyai banyak masa untuk melayani panggilan telefon sekali gus memudahkan sindiket ini mengambil kesempatan," katanya di sini, hari ini.

Sehubungan itu, Aibee mengingatkan orang ramai supaya tidak mudah terpedaya sekiranya menerima panggilan telefon yang mendakwa daripada institusi kewangan ataupun pihak polis kerana dikhuatiri ia adalah panggilan palsu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 April 2020 @ 5:46 PM