Aibee Ab Ghani
Aibee Ab Ghani
Ahmad Hasbi

Seremban: Ramai seolah-olah ambil sikap tidak acuh berikutan kes penipuan 'Macau Scam' meningkat 336 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.

Meskipun pihak polis sudah banyak membuat pendedahan mengenai taktik licik sindiket Macau Scam di media massa dan media sosial, namun masih ramai terjerumus menjadi mangsa sehingga kerugian ratusan ringgit.

Di Negeri Sembilan, polis membuka sebanyak 144 kertas sepanjang tahun ini dengan jumlah kerugian RM4.56 juta iaitu peningkatan sebanyak 336 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.

Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Kontinjen Negeri Sembilan mendedahkan ada segelintir daripada mangsa yang diperdaya sehingga berbulan lamanya tanpa menyedari dirinya menyerahkan wang sedikit demi sedikit kepada sindiket.

Malah, berdasarkan laporan sebelum ini, terdapat mangsa di negeri ini yang sanggup membuat pinjaman wang daripada institusi perbankan dan menyerahkan wang berkenaan kepada sindiket kononnya bagi menyelesaikan masalah yang dihadapi atau mahu membersihkan nama.

Ketua JSJK Negeri Sembilan, Superintendan Aibee Ab Ghani berkata, situasi diperdaya sehingga berbulan-bulan dan sanggup membuat pinjaman bank berlaku ekoran keengganan mangsa sendiri untuk berkongsi masalah dihadapi dengan ahli keluarga atau kenalan rapat.

"Mangsa diarahkan atau diugut sindiket supaya tidak memaklumkan situasi yang dihadapi kepada orang lain kononnya untuk tidak mengganggu siasatan. Kebiasaannya mangsa didakwa terbabit dengan kes penggubahan wang haram.

"Bagi tempoh sehingga 21 April lalu sahaja, kami membuka 144 kertas siasatan membabitkan penipuan Macau Scam dengan jumlah kerugian mencecah RM4.56 juta berbanding hanya 33 kertas siasatan dalam tempoh sama tahun lalu," katanya tadi.

Aibee berkata, apa yang membuatkan pihaknya pelik adalah sebahagian besar daripada mangsa yang ditipu ada golongan berduit atau profesional seperti peguam, guru dan pegawai bank.

Jelasnya, tujuan polis mendedahkan kes atau kejadian yang dilaporkan di dada akhbar bukan bertujuan mahu memalukan mangsa, sebaliknya mahu orang awam sedar mengenai modus operandi yang diguna sindiket yang dilihat semakin licik.

"Pihak polis tidak hanya akan berhubung dengan mangsa melalui panggilan telefon atau WhatsApp sahaja sekiranya 'suspek' disyaki terbabit dengan penggubahan wang haram atau sebagainya. Sekiranya mangsa benar-benar bersalah, dia akan dipanggil secara bersemuka atau ditahan meskipun berada di negeri lain.

"Nasihat polis, jangan melayan mana-mana panggilan yang cuba meminta maklumat peribadi terutama membabitkan akaun bank.

"Kongsikan situasi yang dihadapi atau dapatkan pandangan daripada ahli keluarga, kenalan dan pihak berkuasa sekiranya menerima panggilan yang meminta bayaran atau pemindahan wang terutama yang menggunakan akaun milik individu lain," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 April 2022 @ 4:31 PM