Gambar hiasan
Gambar hiasan
Mohd Amin Jalil


SINDIKET Macau Scam di Negeri Sembilan meningkat 45 peratus, khususnya ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Bersyarat (PKPB).

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK), Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan, Superintendan Aibee Abd Ghani berkata, sebanyak 127 kes direkodkan bagi enam bulan pertama tahun ini hingga 16 Jun lalu, dengan nilai kerugian dianggar RM3.6 juta.

Katanya, jumlah itu berbanding tempoh sama tahun lalu yang mencatat 27 kes dengan kerugian RM1.5 juta.

"Seramai 60 individu ditahan bagi tempoh itu berbanding, 35 orang tempoh sama tahun sebelumnya.

"Peningkatan ini menunjukkan sindiket semakin aktif terutama ketika PKP dan PKPB," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Aibee turut mengulas kes terbaharu membabitkan penuntut berusia 21 tahun yang rugi RM99,040 selepas diperdaya menerusi panggilan telefon oleh tiga lelaki termasuk yang menyamar sebagai anggota polis.

Katanya, kejadian berlaku pada 1 tengah hari Selasa lalu ketika dia berada di rumahnya di Seremban dan menjawab panggilan telefon lelaki memperkenalkan diri sebagai polis serta mendakwa mangsa terbabit kes pengubahan wang haram menerusi akaun bank JP Morgan Chase.

"Mangsa disambungkan kepada seorang lagi pegawai polis memperkenalkan diri sebagai Muhammad Redza yang memintanya memberikan semua maklumat berkenaan akaun mangsa.

"Dia menurut arahan dan memberi nombor TAC sebanyak 23 kali sebelum menyedari wang simpanannya sudah dipindahkan ke beberapa akaun lain," katanya memberitahu kes itu disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Beliau turut menasihati orang ramai supaya tidak melayani apa juga panggilan mencurigakan termasuk menyerahkan butiran akaun peribadi.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Jun 2020 @ 10:36 AM