GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Mohd Amin Jalil


Seremban: Polis menahan empat individu termasuk seorang wanita dan remaja bagi membantu siasatan kes penipuan Macau Scam seorang juruteknik yang membabitkan kerugian sebanyak RM470,000.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan, Superintendan Aibee Ab Ghani berkata, tangkapan dibuat Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Nilai.

"IPD Nilai telah membuat tiga serbuan di Pulau Pinang antara 9 malam semalam hingga 4 pagi tadi dan menangkap empat individu bagi membantu siasatan bersabit kes penipuan Macau Scam," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Aibee berkata, kesemua suspek akan dipohon tahanan reman di Mahkamah Seremban.

"Siasatan lanjut berkaitan kes berkenaan masih dijalankan," katanya.

Dalam kenyataan sebelum ini, polis menerima laporan juruteknik kilang, 57, kerugian RM470,000 selepas terpedaya dengan ahli sindiket Macau Scam yang menyamar sebagai pegawai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), 7 Julai lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 Julai 2021 @ 10:47 AM