Gambar hiasan
Gambar hiasan
Mohd Amin Jalil


Seremban: Kes penipuan 'macau scam' di Negeri Sembilan meningkat awal tahun ini apabila sebanyak 144 kertas siasatan dibuka sejak 1 Januari lalu membabitkan kerugian lebih RM4.56 juta.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan, Superintendan Aibee Abd Ghani, berkata ia meningkat sebanyak 336 peratus berbanding hanya 33 kertas siasatan dibuka dengan nilai kerugian sebanyak RM9830,000 bagi tempoh sama tahun lalu.

Katanya, terdapat dua kes terbaru 'macau scam' diterima pihaknya kelmarin yang membabitkan nilai kerugian keseluruhan sebanyak RM1.58 juta.

"Kes pertama membabitkan seorang janda berusia 77 tahun dari Seremban yang juga pesara kerajaan yang kerugian RM1.186 juta selepas mangsa diperdaya menerusi satu panggilan telefon oleh suspek menyamar sebagai kakitangan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) Cyberjaya.

"Kes kedua pula membabitkan seorang guru berusia 39 tahun dari Nilai di sini, yang kerugian RM394,358.

"Kejadian berlaku pada 15 Mac lalu selepas mangsa menerima panggilan dari seorang lelaki memperkenalkan diri sebagai Zulhairi Mohamad Zaini dari LHDN dengan memaklumkan mangsa mempunyai tunggakan cukai sebanyak RM38,000," katanya tadi.

Aibee berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak melayan sebarang panggilan yang meminta maklumat dan akaun peribadi.

"Dapatkan nasihat daripada ahli keluarga serta rakan-rakan atau pihak berkuasa berkaitan sekiranya menerima panggilan yang meminta apa-apa pembayaran atau pindahan wang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 April 2022 @ 3:19 PM