KETUA Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Pulau Pinang Asisten Komisioner (ACP) Mohd Rosni Mohd Lazim menunjukkan akaun peniaga yang boleh disemak menerusi aplikasi atau portal, bagi mengelakkan penipuan membabitkan urusniaga dalam talian, ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang, hari ini. FOTO ZUHAINY ZULKIFFLI
KETUA Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Pulau Pinang Asisten Komisioner (ACP) Mohd Rosni Mohd Lazim menunjukkan akaun peniaga yang boleh disemak menerusi aplikasi atau portal, bagi mengelakkan penipuan membabitkan urusniaga dalam talian, ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang, hari ini. FOTO ZUHAINY ZULKIFFLI
Zuhainy Zulkiffli


KES penipuan membabitkan urus niaga dalam talian di Pulau Pinang didapati meningkat sebanyak 441.7 peratus dengan nilai kerugian melebihi RM1 juta sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pulau Pinang Asisten Komisioner Mohd Rosni Mohd Lazim berkata, sejak 18 Mac hingga 19 Mei lalu, sebanyak 130 kes penipuan dilaporkan dengan nilai kerugian RM921,084 berbanding hanya 24 kes bagi tempoh sama, tahun lalu.

Katanya, daripada jumlah itu, sebanyak 82 kes membabitkan penipuan jual beli pelitup muka dan pensanitasi tangan dengan kerugian sebanyak RM800,000.

"Seramai 13 individu ditahan dengan tiga daripadanya sudah dituduh di mahkamah membabitkan kes penipuan ini terutama menerusi media sosial.

"Permintaan tinggi terhadap sesuatu barangan juga menyebabkan ada pihak yang tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan," katanya dalam sidang media di Georgetown, hari ini.

Mohd Rosni berkata, selain itu kes Macau Scam juga menunjukkan peningkatan sebanyak 65.2 peratus dengan nilai kerugian melebihi RM3.5juta.

Menurutnya, kes jenayah siber membabitkan penipuan pinjaman tidak wujud turut meningkat sebanyak 9.9 peratus dengan kerugian hampir RM1 juta.

"Keadaan ini dipercayai berlaku kerana orang ramai yang terjejas pendapatan sepanjang PKP tertarik dengan tawaran itu tanpa menyedari ia adalah sindiket penipuan.

"Malah, kita turut menerima laporan berhubung kes Parcel Scam dan Love Scam' tetapi jumlah kes tidak begitu ketara," katanya.

Menurutnya, pihak polis menasihati orang ramai supaya lebih berhati-hati ketika membuat pembelian dengan membuat semakan akaun atau aplikasi selain tidak membenarkan individu lain mengakses maklumat perbankan.

Katanya, orang ramai yang mempunyai aduan atau mendapatkan keterangan lanjut boleh menghubungi Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pulau Pinang di talian 013-2111222.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Mei 2020 @ 3:14 PM