RUSLAN ketika sidang media pada Program Townhall Discussion Kontinjen Negeri Sembilan 2022 di Universiti Sains Islam Malaysia (Usim). FOTO Ahmad Hasbi
RUSLAN ketika sidang media pada Program Townhall Discussion Kontinjen Negeri Sembilan 2022 di Universiti Sains Islam Malaysia (Usim). FOTO Ahmad Hasbi
Ahmad Hasbi

Nilai: Sindiket penipuan terus `mengganas' apabila sebanyak 1,676 kes dilaporkan berlaku membabitkan kerugian RM39.72 juta di seluruh Negeri Sembilan bagi tujuh bulan pertama tahun ini.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Ruslan Khalid berkata, berlaku peningkatan sebanyak 270 kes berbanding tempoh sama tahun lalu bagi jenayah penipuan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

"Kalau ikutkan kes jenayah konvensional seperti kes ragut, curi, pecah rumah dan jenayah kekerasan mencatatkan penurunan sedangkan negara sudah berada pada fasa peralihan ke endemik.

"Tapi sebaliknya berlaku apabila kes jenayah konvensional menurun dan kes jenayah komersial terutama kes penipuan atas talian meningkat," katanya pada Program Townhall Discussion Kontinjen Negeri Sembilan 2022, 'Jangan Jadi Mangsa Scammer Dan Keldai Akaun' di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), di sini, tadi.

Ahli panel membabitkan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Ramli Mohd Nor, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Superitendan Aibee Ab Ghani dan Timbalan Pengarah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) Negeri Sembilan, Ahmad Faizal Rosehaizad.

Ulas beliau, peningkatan jenayah siber berkemungkinan ada kaitan dengan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang mana pada waktu itu masyarakat banyak menggunakan media sosial untuk membeli-belah dan sebagainya.

Jelas beliau, ia sekali gus membuka ruang kepada penjenayah untuk beralih kepada jenayah dalam talian yang dilihat lebih mudah.

Beliau berkata, kes penipuan pembelian dalam talian mencatatkan jumlah kes paling tinggi bagi tempoh Januari hingga Julai tahun ini iaitu sebanyak 507 kes membabitkan kerugian RM3.8 juta.

"Ia diikuti kes Macau Scam iaitu sebanyak 231 kes berbanding hanya 74 kes bagi tempoh sama 2021. Jumlah kerugian sepanjang tahun ini adalah sebanyak RM7.6 juta.

"Manakala penipuan pelaburan mencatatkan 208 kes dengan jumlah kerugian mencecah RM6 juta berbanding 130 kes membabitkan jumlah kerugian RM4.1 juta bagi tempoh sama pada 2021," katanya.

Menurut beliau, kes pecah amanah jenayah pula merekodkan 12 kes membabitkan kerugian RM4.8 juta dan jenayah siber sebanyak 11 kes dengan kerugian RM594,026.

"Selain itu kes mengikut Akta Pemberi Pinjam Wang 1951 membabitkan kerugian RM27,420 dengan 38 kes direkodkan dan wang palsu RM1,300 direkodkan dengan sembilan kes," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Ogos 2022 @ 4:58 PM