Nor Fazlina Abdul Rahim


MASALAH lambakan sayur yang berlaku sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) termasuk di Lojing dan Cameron Highlands sudah selesai.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Che Abdullah Mat Nawi berkata, ia diselesaikan menerusi pembelian oleh Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) dan badan bukan kerajaan (NGO).

"Pada awal pelaksanaan PKP, memang timbul masalah lambakan sayur termasuk mereka yang gagal mengeksport, namun masalah berkenaan sudah ditangani.

"Ada Fama beli dan ada NGO beli untuk diagihkan kepada golongan yang memerlukan termasuk zoo," katanya pada sidang media selepas Lawatan di Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Pengkalan Kubor, Tumpat, hari ini.

CHE Abdullah ketika ditemui media di Kompleks LemLKIM Tumpat. FOTO Nik Abdullah Nik Omar.
CHE Abdullah ketika ditemui media di Kompleks LemLKIM Tumpat. FOTO Nik Abdullah Nik Omar.

Mengulas lanjut, Che Abdullah berkata, setakat ini tiada aduan membabitkan masalah besar yang diterima pihaknya.

"Menerusi bilik gerakan kementerian yang beroperasi setiap hari, kita hanya terima aduan masalah kecil sahaja berhubung pergerakan terhad, namun ia dapat diatasi.

"Ingin saya maklumkan, masalah pergerakan memang akan sentiasa berlaku memandangkan kita masih dalam tempoh PKP," katanya.

Dalam perkembangan lain, Che Abdullah berkata, bekalan ikan untuk PKP berikutnya mencukupi dengan stok di pasaran sebanyak 185,000 tan metrik, berbanding keperluan semasa 155,000 sebulan.

"Jumlah keseluruhan ikan yang didaratkan di 47 Kompleks LKIM seluruh negara sebanyak 25,941 tan metrik dengan nilai RM88.37 juta," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 April 2020 @ 1:32 PM