FOTO Arkib NSTP
FOTO Arkib NSTP
Amirul Aiman Hamsuddin


Kuala Selangor: Stok semasa ikan di negara ini dijangka mencukupi sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan II Datuk Che Abdullah Mat Nawi berkata, dianggarkan keperluan bekalan ikan bagi rakyat di negara ini adalah sekitar 155,000 tan metrik sebulan.

"Stok semasa bekalan ikan negara pada ketika ini adalah sekitar 185,000 tan metrik sebulan dan ia dijangka mencukupi sepanjang tempoh sekatan pergerakan penuh.

"Pengguna dinasihatkan supaya tidak bimbang atau membuat pembelian panik kerana bekalan ikan adalah sentiasa mencukupi," katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini

Terdahulu, Che Abdullah mengadakan tinjauan ke Kompleks Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Kuala Selangor dan pasar nelayan Sungai Yu bagi melihat sendiri bekalan makanan dan operasi rantaian pemasaran ikan di situ.

Menurutnya, terdapat ada 89 pasar nelayan di bawah seliaan LKIM sekiranya pengguna ingin mendapatkan bekalan ikan.

Katanya, selain itu, LKIM juga mempunyai 33 pusat pengumpulan dan pengedaran ikan (CCDC) di seluruh negara.

"LKIM sudah memainkan peranan yang penting dan berkesan untuk memperbaiki kedudukan sosio-ekonomi nelayan dengan penumpuan kepada peningkatan pendapatan dan memajukan perusahaan perikanan negara.

"Selain itu, ia juga memastikan bekalan ikan mencukupi di seluruh negara terutama sewaktu pelaksanaan tempoh ini," katanya.

Sementara itu, Che Abdullah berkata, jumlah jualan di pasar nelayan Sungai Yu bagi tempoh Januari hingga Mei lalu adalah sebanyak 55,834 kilogram (kg) dengan nilai jualan RM961,964.00.

Katanya, jualan pasar nelayan di seluruh Selangor adalah 82,058.85 kg dengan anggaran nilai sebanyak RM1.5 juta sepanjang tempoh yang sama.

"Jualan daripada pasar nelayan seluruh negara dari tempoh Januari hingga Mei lalu pula adalah 2,163,417.01 kg dengan nilai jualan sebanyak RM24.4 juta.

Bagi pendaratan ikan di Selangor pada Januari hingga Mei adalah berjumlah 26,455.55 tan metrik dengan nilai sebanyak RM53.6 juta.

"Manakala bagi pendaratan ikan di seluruh Malaysia adalah sejumlah 41,364.82 tan metrik dengan nilai sebanyak RM164 juta bagi tempoh yang sama," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 Jun 2021 @ 4:12 PM