CHE Abdullah (dua, kiri) melihat ikan yang baru dinaikkan ketika lawatan kerja di LKIM Kuantan, hari ini. FOTO Bernama.
CHE Abdullah (dua, kiri) melihat ikan yang baru dinaikkan ketika lawatan kerja di LKIM Kuantan, hari ini. FOTO Bernama.
Shahrinnahar Latib


STOK ikan dan hasil laut dalam negara ini dijamin mencukupi termasuk jika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bersambung, kata Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan II, Datuk Che Abdullah Mat Nawi.

Beliau berkata, ketika ini bekalan hasil laut negara mencapai 185,000 tan metrik sebulan, berbanding keperluan semasa yang sekitar 155,000 tan metrik sebulan.

“Kita ada lebihan 30,000 tan, jadi tiada masalah. Justeru kita memberi jaminan bekalan makanan ikan mencukupi untuk negara.

“Namun memerlukan rantaian pemasaran (terbaik) yang perlu diselesaikan supaya bekalan ini sampai kepada rakyat. Apa yang penting rakyat tidak perlu membuat pembelian panik,” katanya.

Beliau ditemui pada lawatan kerja ke Kompleks Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Kuantan di Kemunting, hari ini.

Che Abdullah berkata, kebenaran untuk nelayan dan pihak berkaitan perkhidmatan untuk beroperasi membolehkan bekalan ikan ditambah dari semasa ke semasa.

Katanya, kementerian juga sudah membuka bilik gerakan bagi menyelesaikan pelbagai masalah yang berkaitan pemakanan, baik dari segi harga, lambakan dan masalah penghantaran.

“Tetapi setakat ini tiada masalah besar, kebanyakannya adalah masalah kecil sahaja dan kita sudah selesaikan satu persatu. Rakyat tidak perlu bimbang,” katanya.

Sementara itu, jumlah pendaratan ikan di Kompleks LKIM di seluruh negara sepanjang tempoh PKP bermula 8 Mac lalu hingga 8 April lalu adalah 16,631 tan metrik dengan nilai RM59.02 juta.

“Di LKIM Kuantan pula, jumlah tangkapan ikan dalam tempoh yang sama adalah sebanyak 4,635 tan metrik dengan nilai RM10.36 juta. Purata pendaratan ikan sehari adalah 211 tan metrik,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 April 2020 @ 12:44 PM