Hidayatidayu Razali

Kota Bharu: Seramai 200 penanam sayur di Lojing dekat Gua Musang mendakwa menanggung kerugian harian antara RM300,000 hingga RM400,000 akibat isu lambakan sayur-sayuran disebabkan kekangan pergerakan.

Timbalan Pengerusi Persatuan Pekebun Sayur dan Bunga Bumiputera Lojing (PPSBL), Yusup Abd Rahaman berkata, sebanyak 200 tan sayur-sayuran yang tidak dapat dijual dan rosak terpaksa dilupuskan setiap hari.

Katanya, bagi menyelesaikan masalah itu, pihaknya memohon Kerajaan Persekutuan mempercepatkan pembinaan Kompleks Agro Biz Lojing Highlands di Lojing bagi mengumpul dan pemprosesan sayur-sayuran.

"Ia bagi mengelakkan berlaku lambakan dan pelupusan sayur-sayuran di lokasi itu yang dianggarkan sebanyak 200 tan sehari. Akibat itu, pengusaha mengalami kerugian antara RM300,000 hingga RM400,000 sehari.

"Kerugian ini berlaku kerana lambakan sayur-sayuran yang tidak terjual ekoran kekangan pergerakan susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Sekatan Pergerakan Penuh (SPP). Malah, harga sayur-sayuran juga jatuh kerana tidak dapat dibawa keluar.

"Justeru, kami mencadangkan beberapa lokasi untuk membina pusat pengumpulan termasuk di atas tanah seluas lapan hektar dengan kos pembinaan RM30 juta," katanya dalam sidang media di pejabatnya di Jalan Sultanah Zainab, di sini, hari ini.

YUSUP (kiri) memohon kerajaan negeri mempercepatkan pembinaan Kompleks Agro Biz Lojing Highlands di Tanah Tinggi Lojing dekat Gua Musang. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
YUSUP (kiri) memohon kerajaan negeri mempercepatkan pembinaan Kompleks Agro Biz Lojing Highlands di Tanah Tinggi Lojing dekat Gua Musang. FOTO Nik Abdullah Nik Omar

Menurutnya, pihaknya berharap pembinaan pusat pengumpulan dapat dipercepatkan kerana sudah memohon kepada Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) pada Oktober tahun lalu.

Katanya, dengan pembinaan pusat pengumpulan itu, ia diharap dapat membantu penanam sayur mengatasi masalah itu kerana Lojing adalah satu kawasan pengeluaran sayur-sayuran yang menyumbang hasil pertanian dengan pengeluaran 80,000 tan setahun.

"Kadar pengeluaran akan terus meningkat kerana banyak lagi tanah yang berpotensi untuk dimajukan termasuk pengamalan kaedah pertanian Vertical Farming System (VFS) yang mula diusahakan oleh petani.

"Pusat pengumpulan sayur-sayuran ini juga sudah ada di beberapa negeri termasuk Pahang dan Johor," katanya.

Terdahulu media melaporkan ratusan tan sayur-sayuran terpaksa dibuang di Lojing pada setiap hari berikutan kekangan pergerakan ketika pandemik Covid-19.

Susulan itu, Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob dipetik berkata, kerajaan negeri sedang meneliti cadangan pihak pembekal untuk mewujudkan pusat pengumpulan sayur-sayuran dalam usaha menyelesaikan lambakan di pasaran.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 Jun 2021 @ 6:17 PM