Nor Fazlina Abdul Rahim


KEMENTERIAN Pertanian dan Industri Makanan akan menyelesaikan masalah lambakan sayur di Cameron Highlands dan Lojing yang berlaku akibat penularan Covid-19.

Timbalan Menterinya, Datuk Che Abdullah Mat Nawi berkata, pihaknya sudah menghantar pegawai Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) ke lokasi berkenaan untuk mendapatkan maklumat lanjut.

“Untuk masalah lambakan sayur di Cameron Highlands dan Lojing kerana gagal mengeksport, kita sudah mengambil langkah sepatutnya dan kita difahamkan sebahagian mereka sudah membuang hasil tanaman berkenaan, sebelum pihak kementerian mendapat maklumat.

“Bagi mengatasi masalah ini, FAMA akan beli sebahagian sayur manakala sebahagian lagi kita akan gunakan kaedah lain yang sedang dipertimbangkan.

“Antara kaedah lain adalah, bekalan sayur berkenaan diberikan kepada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk diagihkan kepada orang ramai selain dihantar ke zoo,” katanya.

NELAYAN mengasingkan  ikan mengikut jenis yang baru dinaikkan sebelum dijual kepada pemborong idi Pelabuhan Kompleks Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Tok Bali. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
NELAYAN mengasingkan ikan mengikut jenis yang baru dinaikkan sebelum dijual kepada pemborong idi Pelabuhan Kompleks Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Tok Bali. FOTO Nik Abdullah Nik Omar

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas meninjau Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Che Abdullah turut menasihati pengusaha tanaman supaya bersabar kerana ketika ini banyak halangan yang berlaku di mana-mana sahaja.

“Kementerian juga membuka bilik gerakan yang beroperasi sepanjang Tempoh Kawalan Pergerakan (PKP) bagi menyelesaikan sebarang masalah yang berlaku sepanjang tempoh itu.

“Dalam suasana Covid-19, kita mengharapkan pengeluar makanan supaya lebih kreatif dalam

memasarkan hasil mereka.

“Mereka perlu berfikir lebih ke hadapan seperti menjual dalam talian, perkhidmatan penghantaran, berbanding cara konvensional,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 April 2020 @ 3:13 PM