PROSES sanitasi diluar rumah dilakukan anggota Pasukan Dekontaminasi Covid-19 Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Kuantan.FOTO ihsan Pasukan Dekontaminasi
PROSES sanitasi diluar rumah dilakukan anggota Pasukan Dekontaminasi Covid-19 Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Kuantan.FOTO ihsan Pasukan Dekontaminasi
Mohd Rafi Mamat


PASUKAN Dekontaminasi Covid-19 Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Kuantan melakukan operasi sanitasi di 138 lokasi membabitkan kediaman, masjid dan bangunan kerajaan di daerah ini.

Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran (PPKP) Mat Hazuwi Abdul Latif berkata, pasukan yang mula ditubuhkan awal Ferbuari lalu kini dipecahkan kepada lima kumpulan yang akan bergerak melakukan aktiviti sanitasi mengikut keperluan semasa.

Menurutnya, aktiviti semburan turut dilakukan secara jadual berkala di sekolah, klinik kerajaan dan swasta serta istana.

Operasi mengambil masa antara sejam hingga tiga jam bergantung kepada keluasan.

Katanya, operasi sanitasi yang dilakukan bertujuan untuk memastikan tempat terbabit bebas daripada virus Covid-19 dan aktiviti berkenaan dilakukan mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Kementerian Kesihatan (KKM).

"Kita melakukan operasi sanitasi di 128 kediaman yang terdapat kes Covid-19. Keseluruhan bahagian dalam dan luar rumah berkenaan disembur dengan pembasmi kuman dan sekiranya perlu kediaman bersebelahan juga menjalani proses sama.

"Dua masjid utama dan klinik kerajaan serta lima bangunan kerajaan di daerah ini termasuk Wisma Sri Pahang turut menjalani operasi sanitasi," katanya, di Kuantan, hari ini.

Beliau berkata, minggu lalu pihaknya turut melakukan operasi sanitasi dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang di Wisma Sri Pahang sebelum persidangan Dewan DUN Pahang dijalankan dan terbaru aktiviti berkenaan diadakan kawasan perumahan Sungai Isap.

Tambahnya lagi, langkah keselamatan sentiasa diberi keutamaan ketika bertugas apabila semua petugas perlu memakai pakaian khas bersama Peralatan Perlindungan Diri (PPE).

"Saya dan kakitangan lain akan terus berusaha memberi perkhidmatan yang terbaik dalam memastikan wabak Covid-19 tidak terus menular dan membahayakan nyawa penduduk di daerah ini.

"Justeru, kerjasama masyarakat untuk mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) amat penting dalam usaha untuk memutuskan rantaian virus pendamik berkenaan," katanya yang sebelum ini terbabit dengan kempen mencegah pembiakan nyamuk Aedes.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 April 2020 @ 12:52 PM