ANGGOTA bomba melakukan penyemburan pada operasi sanitasi dalam Penjara Penor, Kuantan, hari ini. FOTO MOHD RAFI MAMAT
ANGGOTA bomba melakukan penyemburan pada operasi sanitasi dalam Penjara Penor, Kuantan, hari ini. FOTO MOHD RAFI MAMAT
Mohd Rafi Mamat


PENGURUSAN Penjara Penor, Kuantan berharap keluarga banduan tidak bimbang terhadap kesihatan penghuni kerana pihaknya sentiasa melakukan aktiviti pencegahan sebarang penyakit dari semasa ke semasa.

Pengarahnya Datuk Abu Hassan Hussain berkata, sebelum ini terdapat keluarga banduan bimbang berlaku kemungkinan penularan wabak Covid-19 dalam penjara sekiranya usaha pencegahan tidak dilakukan dengan serius.

Menurutnya, sejak penularan pendamik itu di negara ini, pihaknya mengambil langkah segera seperti melakukan saringan suhu badan bukan sahaja pada banduan, malah kakitangan bertugas.

“Pemeriksaan kesihatan banduan sentiasa dilakukan dan mereka yang tidak sihat akan diasingkan bagi mengelak berlaku sebarang kemungkinan boleh memburukkan keadaan.

“Saya mengingatkan kepada keluarga banduan supaya tidak perlu curiga dan bimbang terhadap tahap kesihatan penghuni Penjara Penor, mereka sentiasa berada dalam keadaan baik serta memuaskan.

“Untuk pengetahuan semua, tiada ada sebarang kes penyakit berjangkit berlaku di penjara Penor,” katanya pada program Operasi Sanitasi sebagai langkah mengekang penularan wabak Covid-19 di penjara itu, hari ini.

Hadir sama, Pemangku Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Mohd Zahar Abdullah.

Operasi sanitasi selama tiga jam bermula 10 pagi itu disertai 60 anggota JBPM Pahang, 20 kakitangan Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) dan lebih 100 anggota Penjara Penor.

Aktiviti penyemburan dibahagikan kepada tiga kumpulan membabitkan blok penghuni, pejabat, kantin, surau dan laluan dalam kawasan penjara.

Abu Hassan berkata, operasi sanitasi dilakukan sebagai langkah pencegahan Covid-19 di Penjara Penor dan setakat ini tiada penghuni dan kakitangan dijangkiti virus berkenaan.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 April 2020 @ 2:32 PM