ANUAR Mat Zin (dua kiri) ketika melakukan lawatan ke Pusat Latihan Kemas Kuantan. FOTO Mohd Rafi Mamat
ANUAR Mat Zin (dua kiri) ketika melakukan lawatan ke Pusat Latihan Kemas Kuantan. FOTO Mohd Rafi Mamat
Mohd Rafi Mamat


JABATAN Kemajuan Masyarakat (Kemas) Pahang melakukan sanitasi pasca Covid-19 di semua 28 taman asuhan kanak-kanak (Taska) yang akan mula beroperasi pada 1 Julai depan.

Pengarahnya, Anuar Mat Zin berkata, pihaknya mendapat kerjasama sepenuhnya Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) peringkat daerah serta negeri bagi membantu melakukan aktiviti sanitasi di setiap bilik jagaan kanak-kanak termasuk peralatan dan perabot digunakan.

Beliau berkata, panduan keselamatan dan kesihatan turut diberikan pegawai Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang turut melakukan lawatan di semua Taska di bawah seliaan Kemas Pahang.

"Kami akan mematuhi semua Prosedur Operasi Standard (SOP) ditetapkan KKM terutama membabitkan kebersihan, penggunaan pelitup muka dan pensanitasi tangan bagi memastikan tidak berlaku kejadian tidak diingini.

"Sebelum ini terdapat lebih 571 kanak-kanak berusia dua hingga empat tahun ditempatkan 28 Taska di setiap daerah di negeri ini," katanya selepas melakukan lawatan ke Pusat Latihan Kemas Kuantan, semalam.

Beliau berkata, pihaknya akan melakukan sanitasi secara berperingkat terhadap semua 951 taman bimbingan kanak-kanak (Tabika) di negeri ini sebelum kebenaran beroperasi dikeluarkan kerajaan.

Menurutnya, kini terdapat seramai 17,200 kanak-kanak berusia enam tahun belajar di Tabika Kemas dan pendidikan pra sekolah itu disediakan sebelum kanak-kanak melangkah masuk ke sekolah rendah.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Jun 2020 @ 4:43 PM