ANGGOTA Pasukan Dekontaminasi Covid-19
ANGGOTA Pasukan Dekontaminasi Covid-19
Mohd Rafi Mamat


PASUKAN Dekontaminasi Covid-19 Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Kuantan melakukan operasi sanitasi dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang di Wisma Sri Pahang, Kuantan, semalam.

Ketua Operasinya Mat Hazuwi Abdul Latif berkata, operasi selama dua jam bermula 5.30 petang itu disertai seramai 12 kakitangan menggunakan tujuh unit mesin perwasapan kabus dan pam semburan tekanan.

Menurutnya, operasi berkenaan turut membabitkan bahagian luar dan dalam Blok A Bangunan Setiausaha Kerajaan Pahang termasuk bilik rehat kenamaan, bilik speaker dan timbalannya di Wisma Sri Pahang.

Katanya, operasi sanitasi yang dilakukan bertujuan memastikan tempat terbabit bebas sepenuhnya daripada virus Covid-19 dan aktiviti berkenaan dilakukan mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Operasi sanitasi dilakukan berikutan persidangan DUN Pahang yang dijadualkan diadakan hari ini, demi menjamin keselamatan semua pihak usaha berkenaan perlu dilakukan mengikut SOP yang ditetapkan.

“Penggunaan alat semburan yang terkini dapat melancarkan lagi operasi nyah kuman berkenaan yang selesai dengan sempurna dan berkesan ,” katanya.

Beliau berkata, sepanjang PKP yang kini memasuki fasa ke tiga Pasukan Dekontaminasi Covid-19 PKD Kuantan turut terbabit melakukan operasi sanitasi di beberapa lokasi tumpuan orang ramai termasuk premis dan kediaman di daerah ini.

Mat Hazuwi berkata, usaha itu terus dilakukan secara berperingkat dalam usaha menjamin keselamatan orang ramai.

“Justeru, kerjasama orang ramai untuk mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) amat penting dalam usaha untuk memutuskan rantaian pendamik ini,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 April 2020 @ 10:42 AM