Satu jawatankuasa dianggotai tiga kementerian ditubuhkan hasil keputusan Kabinet hari ini. FOTO Arkib NSTP
Satu jawatankuasa dianggotai tiga kementerian ditubuhkan hasil keputusan Kabinet hari ini. FOTO Arkib NSTP
BERNAMA

KABINET yang mendengar isu mogok oleh penghantar makanan foodpanda pada mesyuarat mingguannya hari ini, membuat keputusan menubuhkan jawatankuasa yang dianggotai tiga kementerian untuk mengkaji lebih mendalam mengenai perkara itu.

Menteri Sumber Manusia M Kula Segaran berkata, ketiga-tiga kementerian itu ialah Kementerian Sumber Manusia, Kementerian Belia dan Sukan serta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna.

Beliau dalam kenyataan hari ini berkata, kementeriannya juga sudah bertemu dengan wakil foodpanda Malaysia iaitu Pengarah Urusannya Sayantan Das dan ketua pemasaran Fabian Emanuel berhubung isu penghantar makanan foodpanda melancarkan mogok.

“Foodpanda mengesahkan syarikat itu akan memantau skim gaji baharu yang dilaksanakan di beberapa negeri sebelum memutuskan sama ada boleh kembali ke skim lama,” katanya.

Kula Segaran berkata, wakil itu menyebut bahawa di semua negeri selain Johor, penghantar makanan menerima skim gaji baharu yang berfungsi pada model kecekapan - lebih banyak penghantaran, lebih banyak pendapatan diterima penghantar makanan.

Beliau berkata, kerajaan menggesa syarikat itu untuk kembali ke skim gaji lama yang memenuhi kehendak semua penghantar makanan.

Lebih 200 penghantar makanan melancarkan mogok di ibu pejabat syarikat di Kuala Lumpur kelmarin, mendesak syarikat itu kembali semula ke skim bayaran asal dan mengancam untuk melancarkan protes di negeri lain jika syarikat itu enggan menangani keluhan mereka.

Syarikat penghantaran makanan dalam talian itu sudah melaksanakan skim pembayaran baharu untuk semua penghantar makanan di luar Lembah Klang berkuatkuasa 30 September lalu.

Berita berkaitan

Sedia jadi pemudah cara

Kembali ke asal - Syed Saddiq

Foodpanda nilai semula kebajikan 'riders' [METROTV]

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 Oktober 2019 @ 10:05 PM