Raja Noraina Raja Rahim


Petaling Jaya: Suami, isteri dan bekas isteri antara 181 yang ditahan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Selangor dalam Operasi Perdana Siri 1/2021 pada 29 hingga 31 Mac lalu.

Ketiga-tiga mereka masing-masing berusia 57 tahun dan 27 tahun ditahan dalam rumah yang dijadikan sarang penagihan di Klang.

Difahamkan lelaki itu sudah dua kali dimasukkan ke pusat pemulihan dadah tetapi masih mengulangi tabiatnya, malah tergamak membawa isteri dan bekas isterinya menagih bersama.

Pengarah AADK Selangor Dr Nazira Sadiron berkata, lelaki itu mendakwa mengenali isterinya kini sejak 10 tahun lalu ketika wanita terbabit masih bersekolah.

"Selepas keluar dari pusat pemulihan, dia mengajar pula isterinya yang baru dikahwini itu menagih dadah.

"Ketika ditahan, ketiga-tiga mereka berada di dalam rumah yang dijadikan sarang penagihan dan ujian saringan air kencing mendapati mereka positif dadah," katanya dalam sidang media di Pejabat AADK Selangor di sini, hari ini.

NAZIRA Sadiron. FOTO Amirudin Sahib
NAZIRA Sadiron. FOTO Amirudin Sahib

Dr Nazira berkata, operasi selama tiga hari itu tertumpu di lima daerah iaitu Klang, Petaling, Ampang, Kuala Selangor dan Sepang dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM), pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) membabitkan 116 pegawai serta anggota.

Menurutnya, operasi berkenaan dilakukan bagi membanteras dan mengambil tindakan terhadap aktiviti penagihan serta pengedaran dadah.

"Sepanjang operasi, seramai 204 individu diperiksa dan daripada jumlah itu, 181 orang ditahan kerana didapati positif dadah membabitkan 166 lelaki dan 15 wanita berusia antara 18 hingga 61 tahun.

"AADK turut merampas dadah jenis heroin seberat 80.69 gram dan methamphetamine (35.84 gram). Kita juga memusnahkan dua sarang penagihan di Flat Seri Perantau, Pelabuhan Klang serta ladang sawit di Ijok, Kuala Selangor," katanya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 39A dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

FOTO HIASAN
FOTO HIASAN

Selain kes suami isteri itu, beliau berkata, terdapat beberapa lagi kes yang boleh dijadikan pengajaran antaranya ibu tunggal menagih dadah di Sepang.

Beliau berkata, wanita berusia 48 tahun itu tinggal bersama anak lelaki berusia 18 tahun dan wanita berusia 20 tahun didakwa bakal menantunya yang kedua-duanya juga positif dadah.

Katanya, terdapat juga penagih mualaf berusia 61 tahun yang ditahan bersama wanita berusia 48 tahun juga penagih dadah dan tinggal bersekedudukan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 April 2021 @ 2:49 PM