ANTARA 64 pasar nelayan yang beroperasi di seluruh negara.
ANTARA 64 pasar nelayan yang beroperasi di seluruh negara.
Muhamaad Razis Ismail

SEKTOR perikanan antara perkhidmatan penting dalam bekalan makanan negara.

Tidak hairanlah mengapa aktiviti pendaratan ikan di semua Kompleks Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) dan pasar nelayan di seluruh negara berjalan seperti biasa sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan mematuhi langkah disarankan kerajaan.

Ketua Pengarah LKIM Raja Kahalid Raja Ariffin berkata, pihaknya mengekalkan operasi 64 pasar nelayan di seluruh negara selaras dengan pengecualian kerajaan kepada Sektor atau Perkhidmatan Penting bagi memastikan bekalan protein negara mencukupi.

Beliau berkata, bermula 18 Mac lalu, pasar nelayan itu mencatatkan nilai jualan sebanyak RM6.14 juta membabitkan 618,544.46 kilogram hasil laut.

“Jumlah itu membabitkan jualan di pasar nelayan, kaedah tunai semasa penyerahan (COD), platform www.nekmatbiz.com.my dan di Pusat Pengumpulan dan Pengedaran Ikan (CCDC).

“Semua pasar nelayan beroperasi hampir setiap hari di seluruh negara dengan mengamalkan Prosedur Operasi Standard (SOP) sepanjang tempoh PKP seperti disarankan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Semua pasar nelayan ini beroperasi dari pagi hingga tengah hari atau petang dengan kawalan keselamatan oleh polis dan tentera selain bantuan oleh anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) dan penguat kuasa LKIM,” katanya.

Menurutnya, semua pasar nelayan mengambil kira keselamatan dan keselesaan pengguna dengan mewajibkan penjarakan sosial satu meter, mengehadkan hanya sebilangan pengguna pada satu masa, pengesanan suhu badan, penggunaan sanitasi tangan di pintu masuk dan pembelian dibuat oleh seorang ketua ahli keluarga sahaja.

Beliau berkata, LKIM mengambil inisiatif dengan menggalakkan Persatuan Nelayan Kebangsaan (Nekmat) mengubah strategi jualan dan pemasaran ikan menggunakan kaedah COD.

RAJA Kahalid.
RAJA Kahalid.

“Kini, sebanyak 44 persatuan nelayan di seluruh negara sudah menjalankan urusan COD sepanjang tempoh PKP bagi memudahkan pembekalan ikan dan hasil laut secara terus kepada pengguna.

“Pelaksanaan ini mendapat sambutan menggalakkan daripada masyarakat setempat dan LKIM akan terus komited dalam memastikan pengguna mendapat bekalan ikan yang mencukupi sewaktu PKP berkuat kuasa. Kita akan meneruskan perkhidmatan ini selepas PKP tamat,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, Kementerian Pertanian dan Industri Makanan melalui LKIM mengambil beberapa usaha untuk memastikan stok bekalan ikan mencukupi termasuk melalui Program Ikan Segar Beku QFish.

“Sehingga kini, sejumlah 4.99 mt dengan nilai jualan RM98,142.49 dicatatkan membabitkan 810 transaksi dalam talian oleh pengguna sekitar Lembah Klang melalui platform www.nekmatbiz.com.my sepanjang tempoh PKP.

“Nekmat juga membuat jualan ikan menggunakan khidmat runner yang berpusat di Pusat Pengumpulan dan Pengedaran Ikan (CCDC) di Taman Wahyu, Kuala Lumpur,” katanya.

Beliau berkata, LKIM memfokuskan pengedaran bekalan makanan terutamanya hasil laut yang berkesan di sepanjang tempoh PKP ini dengan menjalinkan kerjasama dengan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) di Pasar Segar Terkawal (PST).


“LKIM juga dalam proses memperkemaskan lagi konsep jualan secara dalam talian melalui portal e-Dagang seperti Shopee di https://shopee.com.my/nekmat.os bagi memaksimumkan rantaian bekalan dan pemasaran makanan seterusnya memenuhi permintaan hasil perikanan di seluruh negara.

“Selain itu, LKIM melalui persatuan nelayan akan menyediakan platform dalam talian untuk membolehkan pelanggan membuat pesanan awal atau whatsapp secara pra pesanan dan membuat bayaran terus secara dalam talian bagi memudahkan urusan pengambilan di pick-up point dan urusan pandu lalu di pasar nelayan terpilih,” katanya.

Sokong kaedah jualan COD

Persatuan nelayan di seluruh negara menyambut baik saranan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) yang menggalakkan menggunakan kaedah tunai semasa penyerahan (COD).

Bagi mereka, inisiatif ini bukan sahaja memberi kemudahan kepada pelanggan malah memberi keuntungan kepada nelayan.

Pengurus Besar Persatuan Nelayan Negeri Kedah (Nekad) Norazila Ismail berkata, pihaknya menyambut baik cadangan LKIM untuk memperkenalkan sistem COD ini.

Katanya, dalam tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini, pelanggan bimbang untuk ke pasar nelayan.

“Situasi ini sudah pasti menimbulkan keresahan dalam kalangan 8,700 nelayan yang berdaftar.

“Bagaimanapun, dengan kaedah ini, pelanggan dan nelayan masing-masing mendapat manfaat,” katanya.

JUALAN melalui COD dapat sambutan menggalakkan.
JUALAN melalui COD dapat sambutan menggalakkan.

Menurutnya, pihaknya mula melaksanakan kaedah COD membabitkan semua pasar nelayan di negeri ini selepas seminggu PKP dilaksanakan.

“Pelanggan boleh membuat tempahan sehari awal menerusi media sosial termasuk aplikasi WhatsApp dan Facebook sebelum bekalan dihantar oleh runner pada keesokkan harinya tanpa dikenakan caj penghantaran,” katanya.

Tambahnya, bermula April 2020 sehingga hari ini. Nekad merekodkan jualan hasil laut seberat 1,500 kilogram bernilai RM13,000 menerusi COD.

Perkara sama turut diakui oleh Pengurus Besar Persatuan Nelayan Kawasan Sri Muara, Kuching, Sarawak, Kartini Bujang yang melihat sistem COD ini dapat membantu nelayan menjual hasil tangkapan.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 April 2020 @ 9:00 AM