AHMAD (kiri) bersama Zainal Abidin ketika membuat lawatan di Pusat Operasi FAMA Seremban. FOTO Azrul Edham Mohd Aminuddin
AHMAD (kiri) bersama Zainal Abidin ketika membuat lawatan di Pusat Operasi FAMA Seremban. FOTO Azrul Edham Mohd Aminuddin
Mohd Amin Jalil
am@hmetro.com.my


LEMBAGA Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) berjaya menjana nilai jualan produk pertanian sebanyak RM43 juta menerusi pusat jualan dan pemasaran kendalian agensi itu di seluruh negara, bagi tempoh 1 hingga 19 April lalu.

Ia membabitkan 45 Pasar Tani Terkawal (PST) yang beroperasi sebagai saluran pemasaran hasil pertanian bagi mengelak berlakunya lambakan selain 321 Agrobazaar Kedai Rakyat (AKR) dan 115 Agrobazaar Rakyat (ABR).

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan 1, Datuk Seri Ahmad Hamzah, berkata selain itu terdapat 45 oulet Fama yang beroperasi membabitkan 17 Pusat Operasi FAMA, Pasar Tani Kekal (22), Myfarm Oulet (3) dan Pasar Tani Terpilih Terbuka (3).

Beliau berkata, nilai jualan direkodkan bagi semua PST yang diwujudkan ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sangat memberangsangkan apabila merekodkan RM22.9 juta bagi tempoh sama.

“Operasi PST membabitkan seramai 490 usahawan dan berjaya menarik 270,000 pengunjung dengan 37,484 pembelian/penghantaran.

“Sejak pelaksanaan PKP mulai 18 Mac lalu sehingga 19 April, Fama berjaya membantu 1,120 petani dengan kuantiti belian produk sebanyak 4,506 matrik tan bernilai sebanyak RM6.85 juta.

“Seramai 1,420 usahawan di bawah seliaan Fama terbabit dalam memastikan bekalan makanan sampai kepada kira-kira 0.6 juta pengguna yang turut menggunakan kaedah 38.091 perkhidmatan penghantaran,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melawat PST Pandu Lalu di Pusat Operasi FAMA Negeri Sembilan di Jalan Labu, Seremban, hari ini.

Hadir sama, Ketua Pengarah FAMA, Datuk Zainal Abidin Yang Razalli dan Pengarah FAMA Negeri Sembilan, Asmizal Jaafar.

Ahmad berkata, semua pusat jualan itu bertujuan memasarkan barangan segar, sayur-sayuran, buah-buahan, ayam dan daging serta barangan keperluan harian lain.

Beliau berkata, usaha kerajaan ketika ini adalah meningkatkan dan memperkemaskan aktiviti pemasaran secara dalam talian menerusi Agrobazaar Online bagi membantu petani.

“Pada masa sama, 17 Pusat Operasi FAMA itu dijadikan pusat perantara kepada semua petani supaya petani tidak berhadapan masalah memasarkan produk mereka.

“Justeru itu, setakat ini masalah lambakan produk pertanian tidak berlaku. Memang sebelum ini berlaku lambakan tetapi selepas kerajaan buat kajian, masalah itu dapat diselesaikan,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 April 2020 @ 4:14 PM