Ahmad Hamzah (tiga, kanan) di Agrobazaar Nyiur Tujuh. FOTO Nurul Fatihah Sulaini
Ahmad Hamzah (tiga, kanan) di Agrobazaar Nyiur Tujuh. FOTO Nurul Fatihah Sulaini
Nurul Fatihah Sulaini


Jertih: Nilai jualan pelbagai jenis produk di pasar tani dan agrobazaar Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) mencecah RM1 billion sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan pada 18 Mac 2020 sehingga dua hari lalu.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan I, Datuk Seri Ahmad Hamzah berkata, pencapaian itu menunjukkan perkembangan terhadap pemasaran produk tempatan.

Katanya, sepanjang tempoh PKP jualan di pasar tani dan agrobazaar bukan sahaja dibuat secara langsung tetapi juga dalam talian.

"Kita sedar pembelian secara dalam talian sudah menjadi satu trend masyarakat yang lebih selesa berada di rumah bagi memastikan keselamatan lebih terjamin," katanya kepada media selepas melakukan lawatan kerja ke Agrobazaar Nyiur Tujuh, Besut, hari ini.

Hadir sama, Ketua Pengarah FAMA, Datuk Zainal Abidin Yang Razalli.

Ahmad berkata, sehingga Februari 2021 lapan Agrobazaar dibangunkan di seluruh negara.

Beliau berkata, sehingga Disember lalu, nilai jualan direkodkan daripada lapan Agrobazaar itu adalah RM11,892,699.72 dengan memasarkan 32,292 produk.

"Di Terengganu terdapat tiga Agrobazaar yang berfungsi secara aktif iaitu Agrobazaar Chendering, Kuala Terengganu, Agrobazaar Permint Jaya, Kuala Terengganu serta Agrobazaar Nyiur Tujuh, Besut," katanya.

"Pembangunan Agrobazaar Nyiur Tujuh ini dapat membantu usahawan tani selain dijadikan sebagai hab pemasaran dan jualan produk tempatan berpotensi meraih pendapatan lebih buat mereka," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Mac 2021 @ 12:58 PM