47 pusat jualan bakal diadakan di beberapa negeri bagi mengurangkan kesesakan di pasar basah sedia ada. FOTO NSTP
47 pusat jualan bakal diadakan di beberapa negeri bagi mengurangkan kesesakan di pasar basah sedia ada. FOTO NSTP
Amir Mamat


SEBANYAK 30 lagi pusat jualan barangan segar terkawal akan dibuka secara berperingkat di seluruh negara bagi membolehkan masyarakat mendapatkan keperluan harian dengan harga berpatutan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan 1, Datuk Seri Ahmad Hamzah berkata, sehingga kini, kerajaan menerusi Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) sudah membuka 47 pusat jualan berkenaan di beberapa negeri bagi mengurangkan kesesakan di pasar basah sedia ada.

Beliau berkata, langkah itu antara usaha kerajaan untuk membantu rakyat mendapatkan barang makanan segar dan bermutu.

“Setakat ini kita sudah mewujudkan 47 pasar segar terkawal di seluruh negara termasuk Melaka dan kita harap masyarakat jangan berpusu-pusu kerana barangan makanan memang mencukupi.

“Kita mahukan hasil pertanian, penternak dan nelayan dipasarkan segar selain mahu rangkaian pemasaran tidak ada gangguan serta dapat memasarkan yang terbaik untuk rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas meninjau Pasar Segar Terkawal di Pejabat FAMA negeri di Ayer Keroh, hari ini.

Hadir sama, Exco Pertanian, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Industri Asas Tani negeri, Datuk Norhizam Hassan Baktee; Ketua Pengarah FAMA, Datuk Zainal Abidin Yang Razalli dan Pengarah FAMA negeri, Che Samudin Hassan.

Baru-baru ini, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan FAMA akan membuka pusat jualan barangan segar terkawal di 77 lokasi di seluruh negara.

Inisiatif itu bagi mengurangkan kesesakan di pasar basah sedia ada.

Ahmad turut menasihatkan orang ramai tidak membuat pembelian panik kerana barangan keperluan masih mencukupi.

Dalam pada itu, beliau berkata, setakat ini tidak berlaku sebarang lambakan sayur-sayuran dan buah-buahan, malah pihaknya berusaha memasarkan segala hasil pekebun menerusi medium pusat jualan barangan segar berkenaan selain pasar tani terpilih, pasar tani kekal, pusat operasi FAMA, MyFAMA Outlet serta Kompleks Peladang kawasan.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 April 2020 @ 5:05 PM