SAMSOLBARI Jamali membuat tinjauan pelaksanaan PKP di Pasar Tani Kekal Datin Halimah. FOTO Omar Ahmad
SAMSOLBARI Jamali membuat tinjauan pelaksanaan PKP di Pasar Tani Kekal Datin Halimah. FOTO Omar Ahmad
Omar Ahmad


LEMBAGA Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Johor memperluaskan jualan barangan basah runcit dan buahan segar secara dalam talian.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Luar Bandar, Datuk Samsolbari Jamali berkata konsep itu mendapat permintaan yang tinggi sejak arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan.

Katanya, inisiatif itu semakin meningkat sejak 20 Mac lalu dan sehingga kini menerima 1,500 tempahan melaui www.agrobazaar.com.my dengan jualan mencecah RM200,000.

“Inisiatif ini (jualan dalam talian) bukan sahaja memberi ruang kepada pengguna mendapatkan barangan makanan khususnya ayam, ikan, daging, sayur-sayuran dan buah-buahan secara segar terus ke rumah tanpa perlu pergi ke pasar.

“Malah membantu memasarkan hasil keluaran 1,410 para penternak dan petani yang berada di bawah program ladang kontrak seliaan Fama Johor ketika PKP,” katanya ketika ditemui selepas tinjauan PKP di Pasar Tani Kekal (PTK) Datin Halimah di sini, hari ini.

PETUGAS Fama menyiapkan tempahan untuk dihantar menerusi kaedah pembelian atas talian Fama di Pasar Tani Kekal Datin Halimah. FOTO Omar Ahmad
PETUGAS Fama menyiapkan tempahan untuk dihantar menerusi kaedah pembelian atas talian Fama di Pasar Tani Kekal Datin Halimah. FOTO Omar Ahmad

Jelas Samsolbari, jualan dalam talian disediakan dua lokasi iaitu Pasar Tani Kekal Datin Halimah dan Pusat Operasi Fama Johor Bahru di Jalan Tampoi.

Katanya, namun enam lokasi dibuka untuk Pasar Segar Terkawal (PST) seluruh negeri ini.

“Dalam sehari, FAMA menerima 80 hingga 120 tempahan secara atas talian. Kesemua urusan tempahan, bungkusan dan penghantaran dibuat oleh kakitangan mereka sendiri.

“Pesanan dibuka bermula jam 8 malam hingga 12 tengah hari hari berikutnya dan penghantaran akan dilakukan bermula jam 8 pagi keesokan hingga 2 petang.

“Kaedah pembayaran ketika penghantaran dan menggunakan lima kereta dan juga tiga motosikal bagi menampung permintaan pelanggan.

“Penghantaran meliputi sejauh 30 kilometer sehingga Kulai, Gelang Patah dan Pasir Gudang dengan minimum pembelian RM50,” katanya

Untuk rekod, sepanjang PKP berlangsung, orang ramai boleh mendapatkan barangan makanan secara terus di (PST) iaitu di lima PTK dan Pusat Operasi Fama Johor Bahru.

PTK terbabit adalah PTK Datin Halimah dan PTK Permas Jaya , PTK Bukit Gambir di Muar, PTK Endau di Mersing dan PTK Pasar Komuniti dan Karavan (PAKAR) Mersing.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 April 2020 @ 1:42 PM