AgroBazaar Online.
AgroBazaar Online.
ORANG ramai mengunjungi gerai pameran.
ORANG ramai mengunjungi gerai pameran.
 YAHYA (dua dari kiri) dan Mansor melihat produk yang dipamerkan.
YAHYA (dua dari kiri) dan Mansor melihat produk yang dipamerkan.
Erdiehazzuan Ab Wahid


Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) melalui Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) terus mencari ruang dan inisiatif bagi memajukan industri pertanian negara melalui pelaksanaan program AgroBazaar Online.

Program di bawah Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) yang diakses melalui agrobazaar.com.my itu menyediakan pasaran baru untuk produk pertanian dengan mewujudkan komuniti agromakanan secara dalam talian.

Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) FAMA, Mansor Omar berkata, model agrobazaar.com.my merangkumi maklumat, latihan, perkhidmatan sokongan, komuniti dan nilai rantaian online dan offline.

Katanya, AgroBazaar Online turut memaparkan maklumat seperti harga sayur dan buah terkini selain maklumat senarai pasar tani, lokasi dan kalendar buah bermusim.

“FAMA menyasarkan nilai jualan RM2 juta bagi produk pertanian menerusi pelaksanaan program AgroBazaar Online tahun ini.

“Sejak pelaksanaan program ini pada Disember 2014 sehingga hujung tahun lalu, sebanyak RM250,000 jumlah jualan diperoleh,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri majlis perasmian kursus AgroBazaar Online di Putatan, Sabah, baru-baru ini.

Majlis perasmian disempurnakan Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Pertanian dan Industri Makanan Sabah, Datuk Seri Yahya Hussin.

Mansor berkata, program itu dilihat masih baru apabila jumlah peniaga berdaftar (dalam talian) baru mencecah 1,131 pekedai manakala jumlah pelawat sebanyak 15,467 orang.

“Bagi mencapai sasaran jualan sehingga RM2 juta, FAMA memerlukan kerjasama semua usahawan dalam talian khususnya peniaga produk pertanian untuk turut serta,” katanya.

Menurutnya, pihaknya menyasarkan 10 usahawan dapat didaftarkan setiap bulan bagi program itu.

“Sehingga kini, Sabah mencatatkan 36 usahawan berdaftar dan FAMA menyasarkan 120 peniaga didaftarkan sehingga hujung tahun ini.

“Untuk meningkatkan kesedaran dalam kalangan usahawan, FAMA akan terus mengadakan promosi dan publisiti selain menganjurkan kursus dan latihan kepada peniaga dalam talian,” katanya.

Sementara itu, Yahya berkata, program itu membolehkan usahawan dalam talian menjimatkan kos operasi, berdikari selain memiliki pasaran luas tanpa orang tengah.

“Saya berharap peniaga dalam talian yang masih belum berdaftar supaya segera mendaftar.

“Ini kerana perniagaan dalam talian sangat popular selain kebanyakan masyarakat kini mampu memiliki telefon pintar yang canggih,” katanya.

Usahawan sabun kecantikan berasaskan rumpai laut Sabah, Ratnawati Anil, 35, mengakui pelaksanaan program AgroBazaar Online mampu memberi peluang kepada peniaga memasarkan produk mereka.

“Saya mula berniaga produk ini sejak 2014, namun baru pertama kali menyertai AgroBazaar Online.

“Sudah pasti program ini akan dapat meningkatkan jualan produk tempatan melalui pelaksanaan AgroBazaar Online,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 Mei 2016 @ 10:54 AM