KELIHATAN warga asing membeli barang keperluan dengan membawa keluarga dan melanggar arahan Perintah Kawalan Pergerakan yang hanya membenarkan ketua keluarga atau seorang sahaja dibenarkan bagi satu keluarga. FOTO ASYRAF HAMZAH
KELIHATAN warga asing membeli barang keperluan dengan membawa keluarga dan melanggar arahan Perintah Kawalan Pergerakan yang hanya membenarkan ketua keluarga atau seorang sahaja dibenarkan bagi satu keluarga. FOTO ASYRAF HAMZAH
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


WARGA asing di sekitar pusat bandar raya ini didapati masih berdegil dan ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) apabila dilihat keluar beramai-ramai ke kedai dan pasar raya.

Tinjauan Harian Metro di beberapa pasar raya hari ini mendapati kebanyakan warga asing tidak datang berseorangan sekali gus menyalahi peraturan PKP.

Mereka sekurang-kurangnya dua hingga tiga orang yang dipercayai tinggal serumah datang sekali ke pasar raya untuk membeli-belah.

Kebanyakan warga asing yang ingkar arahan PKP ini berasal dari negara Timur Tengah dan Arab.

Tanpa rasa bersalah dan segan silu, warga asing ini berjalan berpimpinan tangan, tidak memakai topeng penutup hidung dan mulut serta tidak menjarakkan diri dalam lingkungan satu meter.

Malah selesai membeli, mereka berjalan sambil membawa barang secara berpegangan tangan dan tidak berusaha mematuhi segala arahan yang ditetapkan dalam PKP.

Berdasarkan kenyataan Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, arahan pematuhan PKP adalah kepada semua pihak dan bukan ada pengecualian membabitkan warga asing atau tempatan.

Isu kedegilan warga asing ini sebenarnya bukan baharu berlaku tetapi sejak PKP Fasa Satu dikuatkuasakan.

Malah harus diingat penyumbang kepada jumlah positif Covid-19 di kawasan Masjid India terutama Plaza City One, Selangor Mansion dan Malayan Mansion adalah di kalangan warga asing yang kini sudah mencatatkan lebih 80 individu.

Untuk rekod, sehingga semalam, seramai 3,210 warga asing sudah ditahan di seluruh negara kerana melanggar arahan PKP.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 April 2020 @ 6:01 PM