Hafidzul Hilmi Mohd Noor

TINDAKAN warga asing ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan berkeliaran di beberapa lokasi di ibu kota mengundang padah apabila ditahan polis, hari ini.

Sekurang-kurangnya 20 warga asing ditahan dalam pemeriksaan di Jalan Angsoka, Jalan Tengkat Tong Shin, Jalan Changkat dan Jalan Bukit Bintang kira-kira 5.30 petang.

Terdahulu, mereka dilihat keluar secara berkumpulan dan melepak di tepi jalan sehingga menimbulkan rasa kurang senang penduduk tempatan.

Mereka dilihat sempat makan di kedai walaupun sudah ditegah beberapa kali oleh pihak berkuasa.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi Asisten Komisioner Mohd Fahmi Visunanthan Abdullah berkata, operasi dijalankan susulan maklumat daripada orang awam.

“Pemeriksaan berkala ke lokasi berkenaan dilakukan ke setiap hari membabitkan warga asing yang mengambil kesempatan keluar dan mengingkari PKP.

“Pihak polis akan mempertingkatkan pemeriksaan terutama kepada warga asing dan tidak berkompromi untuk mengambil tindakan jika mereka didapati melanggar arahan,” katanya.

ANGGOTA polis menahan 20 warga asing yang melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di beberapa lokasi di ibu kota. FOTO Asyraf Hamzah
ANGGOTA polis menahan 20 warga asing yang melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di beberapa lokasi di ibu kota. FOTO Asyraf Hamzah

Katanya, semua warga asing yang ditahan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi untuk tindakan lanjut.

Terdahulu, portal berita Harian Metro melaporkan warga asing didapati masih berdegil dan ingkar arahan PPK apabila dilihat keluar beramai-ramai ke kedai dan pasar raya.

Tinjauan di beberapa pasar raya hari ini mendapati kebanyakan warga asing tidak datang berseorangan dipercayai untuk membeli-belah.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 April 2020 @ 7:45 PM