ANGGOTA polis dan ATM melakukan sekatan jalan raya (SJR) di Putrajaya berikutan pelaksanaan semula Perintah Kawalan Pergerakan. FOTO Luqman Hakim Zubir
ANGGOTA polis dan ATM melakukan sekatan jalan raya (SJR) di Putrajaya berikutan pelaksanaan semula Perintah Kawalan Pergerakan. FOTO Luqman Hakim Zubir
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kuala Lumpur: Seramai 608 individu ditahan selepas didapati melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara, semalam.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, daripada jumlah itu, seramai 580 orang dikompaun manakala 27 individu direman manakala seorang dijamin.

"Antara kesalahan ingkar arahan PKP termasuk tidak memakai pelitup muka (200), gagal menyediakan peralatan merekod butiran pelanggan (147), rentas negeri atau daerah tanpa kebenaran (66), gagal mematuhi arahan penjarakan fizikal (46), premis beroperasi lebih masa (42), aktiviti pusat hiburan (11) dan lain-lain (96).

"Sebanyak 2,436 pasukan pematuhan yang membabitkan 11,162 anggota membuat pemantauan di 3,639 pasar raya, 4,882 restoran serta 1,547 penjaja, 1,394 kilang, 3,128 bank dan 537 pejabat kerajaan.

"Juga dipantau sebanyak 909 terminal pengangkutan darat, 283 terminal pengangkutan air serta 91 terminal pengangkutan udara," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Mengulas berhubung kawalan sempadan negara, Ismail Sabri berkata, seramai 17 pendatang asing tanpa izin (Pati) dan dua tekong ditahan manakala tujuh kenderaan darat dirampas.

"Kerajaan akan mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang cuba memasuki sempadan negara secara haram dan agensi penguatkuasa akan terus mengetatkan kawalan di kawasan sempadan terutama lorong tikus," katanya.

Menurutnya, sebanyak 415 sekatan jalan raya dilaksanakan semalam di seluruh negara bagi mengekang kemasukan Pati.

Beliau berkata, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) membuat 811 pemantauan harian ke atas 11 jenis bekalan barangan termasuk peruncit (617), pemborong (162) dan pengilang (32), semalam.

"Secara keseluruhan bekalan barangan keperluan mencukupi dan mampu menampung keperluan dalam negara dan mudah diperoleh.

"Pegawai penguatkuasa KPDNHEP juga melakukan 1,166 pemeriksaan khas pematuhan SOP PKP.

"Daripada jumlah itu, 1,161 premis mematuhi SOP yang ditetapkan manakala 5 premis diberi amaran kerana tidak patuh SOP,"katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 January 2021 @ 8:46 PM