BUAH lemon yang berkulat dibawa masuk di Pelabuhan Tanjung Pelepas. FOTO IHSAN MAQIS
BUAH lemon yang berkulat dibawa masuk di Pelabuhan Tanjung Pelepas. FOTO IHSAN MAQIS
Omar Ahmad


SEBANYAK 25 tan lemon dari Sepanyol disita Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) Negeri Johor di Pelabuhan Tanjung Pelepas di sini, hari ini.

Pengarah MAQIS Negeri Johor, Nur Afifah A Rahman berkata, pemeriksaan ke atas konsainan yang dibawa menemukan buah lemon rosak dan berkulat.

Katanya, pemeriksaan lanjut mendapati buah lemon yang rosak dan berkulat itu diletakkan bersama dengan buah yang elok dalam satu kotak sama.

“Dagangan lemon yang dianggarkan bernilai RM165,000 itu dipercayai dibawa untuk pasaran tempatan,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Nur Afifah berkata, dagangan buah itu ditahan dan disiasat di bawah seksyen 14(a) Akta Perkhidmatan Kuarantin Dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta 728] kerana mengimport keluaran pertanian dengan perosak, penyakit atau bahan cemar.

Jika disabitkan kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM100,000.00 atau dipenjara tidak melebihi 6 tahun atau kedua-duanya sekali atau kedua-duanya dan bagi kesalahan kedua atau berikutnya didenda tidak melebihi RM250,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tujuh tahun atau kedua-duanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 April 2020 @ 6:58 PM