Sahabudin Abd Manan (tengah) menunjukkan rampasan pelbagai jenis dadah di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang. FOTO DANIAL SAAD
Sahabudin Abd Manan (tengah) menunjukkan rampasan pelbagai jenis dadah di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang. FOTO DANIAL SAAD
Audrey Dermawan


SINDIKET pengedaran dadah yang beroperasi ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Pulau Pinang berjaya ditumpaskan, susulan penahanan seorang lelaki dan rampasan dadah bernilai lebih RM700,000.

Ia kejayaan kedua polis negeri dalam tempoh lebih seminggu dan antara rampasan terbesar sepanjang Op Covid-19 yang bermula 18 Mac lalu.

Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Sahabudin Abd Manan berkata, pihaknya melancarkan dua serbuan di Bayan Lepas pada 6.30 petang Ahad lalu dan 10 pagi keesokan harinya, yang membawa kepada penahanan lelaki berusia 26 tahun.

Katanya, lelaki yang tidak bekerja itu ditahan di tepi jalan di Queensbay dalam serbuan pertama.

“Soal siasat ke atasnya membawa kepada serbuan di sebuah rumah berdekatan lokasi itu dan pasukan menemui dadah disembunyikan dalam dua pasu besar.

“Terdapat 1,545 gram (gm) heroin base bernilai RM99,321.43; 32,654gm heroin (RM290,258); 6,660gm syabu (RM266,400), 3,300 pil Erimin 5 (RM49,500); 41.7gm ganja (RM417) dan 25,000gm kafein (RM12,000).

“Jumlah keseluruhan dadah ini adalah RM717,896.43 dan kita percaya rumah itu digunakan sebagai stor penyimpanan bekalan barang larangan terbabit,” katanya yang memberitahu sindiket itu aktif tiga minggu lalu.

Turut dirampas Proton Preve and motosikal Yamaha Y15Z bernilai RM37,700.

Sahabudin berkata, suspek yang positif dadah jenis ganja dan mempunyai rekod jenayah lampau kini direman seminggu mengikut Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah dan kes itu disiasat di bawah Seksyen 39 B Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Kita percaya dadah yang dirampas ini untuk pasaran tempatan dan boleh digunakan 154,318 penagih dadah,” katanya.

Menurutnya, polis juga menyiasat sama ada sindiket itu memproses dadah sendiri atau mempunyai kaitan dengan sindiket lain yang ditumpaskan sebelum ini.

Katanya, usaha giat dilakukan untuk memburu saki baki kumpulan itu.

Media sebelum ini melaporkan, Polis Pulau Pinang menahan lima individu termasuk dalang utama sindiket dadah dan kekasihnya yang berusia 18 tahun dalam dua serbuan di Seberang Jaya dan Bukit Tambun.

Penahanan mereka pada 6.30 petang Jumaat dan Sabtu turut merampas dadah pelbagai jenis bernilai RM55,497.20 selain menjumpai wang tunai RM878,236.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 April 2020 @ 5:28 PM