Audrey Dermawan


POLIS Pulau Pinang berjaya menumpaskan sindiket pengedaran dadah tempatan menerusi penahanan lima individu termasuk dalang utama sindiket itu, ketika operasi Ops Covid-19.

Mereka ditahan sepasukan anggota dan pegawai Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Seberang Prai Tengah dalam dua serbuan di Seberang Jaya dan Bukit Tambun bermula 6.30 petang Jumaat hingga semalam.

Ketua Polis Negeri Datuk Sahabudin Abd Manan berkata, antara yang ditahan adalah kekasih dalang utama sindiket berkenaan yang berusia 18 tahun.

“Tiga lelaki lain berusia 30-an, manakala ketua sindiket berusia 41 tahun. Serbuan berjaya merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM55,497.20 membabitkan 6,53.30 gram (g) heroin bernilai RM54,272; 8.07g ganja (RM80.70); 4.91g syabu (RM736.50); 1.12gm ketamin (RM168) dan 16 pil Eramin 5 (RM240).

“Pasukan juga menemui wang tunai RM878,236 yang dirampas di dalam utama sindiket di Bukit Tambun, dipercayai hasil daripada jual beli dadah.

“Selain itu, kita merampas dua Honda Accords bernilai RM149,500 dan pelbagai barang kemas RM26,487,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen di Georgetown, hari ini.

Sahabudin berkata, sindiket itu dipercayai aktif sejak dua ke tiga bulan lalu dan berdasarkan jumlah barang larangan yang dirampas, ia mampu menampung bekalan 15,000 penagih dadah.

Katanya, kelima-lima suspek ditahan reman seminggu untuk siasatan mengikut Seksyen 117 Kanun Keseksaan dan Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Siasatan awal menunjukkan suspek mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan dadah kecuali remaja perempuan itu dan seorang suspek lelaki,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata Ops Covid-19 setakat 10 April merekodkan 194 individu ditahan berkaitan jenayah narkotik.

Menurutnya, 22 kes ditahan ketika sekatan jalan raya manakala, 69 kes menerusi serbuan.

“Jumlah dadah dirampas dalam tempoh itu cecah RM423,010 dipercayai untuk bekalan 56,000 penagih,” katanya.

ANTARA pelbagai jenis dadah dianggarkan bernilai RM55,497.20 yang dirampas polis selepas menahan empat lelaki dan seorang wanita dalam dua serbuan di Seberang Perai ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang di sini. Turut dirampas wang tunai bernilai lebih RM 1 juta dan dadah jenis heroin, ganja, syabu, ketamin dan pil eramin 5. FOTO Danial Saad
ANTARA pelbagai jenis dadah dianggarkan bernilai RM55,497.20 yang dirampas polis selepas menahan empat lelaki dan seorang wanita dalam dua serbuan di Seberang Perai ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang di sini. Turut dirampas wang tunai bernilai lebih RM 1 juta dan dadah jenis heroin, ganja, syabu, ketamin dan pil eramin 5. FOTO Danial Saad

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 April 2020 @ 1:43 PM